Proton sumbang zakat RM64,500 kepada 11 penerima

Proton sumbang zakat RM64,500 kepada 11 penerima di seluruh negara

RASHID Musa (enam dari kiri) bersama wakil penerima sumbangan zakat oleh Proton dalam satu majlis berbuka puasa di Putrajaya Marriott Hotel baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton Holdings Berhad (Proton) terus komited terhadap kesejahteraan komuniti sempena musim perayaan ini dengan menyalurkan sumbangan zakat berjumlah RM64,500 kepada 11 penerima di seluruh negara dalam satu majlis berbuka puasa di Putrajaya Marriott Hotel.

Sumbangan tersebut menyokong pelbagai inisiatif termasuk pembangunan pusat pembelajaran agama, penambahbaikan kemudahan komuniti serta pelaksanaan program pendidikan, di samping bantuan kepada golongan asnaf dan kurang berkemampuan. 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Rashid Musa berkata, Proton percaya tanggungjawab syarikat itu melangkaui aspek mobiliti. 

“Sokongan kepada 11 penerima melalui sumbangan zakat ini mencerminkan komitmen berterusan kami terhadap pembangunan komuniti serta usaha mewujudkan impak di tempat yang paling memerlukan. 

“Fokus kami adalah untuk memastikan sumbangan ini memberikan nilai jangka panjang sambil memperkukuh komuniti yang kami santuni,” katanya dalam kenyataan.

Antara penerima ialah Sekolah Agama Rakyat Proton City (SRA), Masjid At-Taqwa Proton City, serta organisasi yang menjalankan program Ramadan untuk golongan asnaf dan anak yatim.

Majlis ini turut dihadiri oleh pihak berkepentingan utama dan wakil kerajaan, termasuk pegawai daripada Kementerian Kewangan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Bersempena majlis berbuka puasa tersebut, Proton turut memperkenalkan pratonton filem Hari Raya terbaharu bertajuk ‘Darah Biru’, yang merupakan sebahagian daripada siri penceritaan Raya jenama ini. 

Filem ini merupakan kesinambungan kelima sejak tahun 2022 dan menjadi platform penting untuk Proton mendekati rakyat Malaysia melalui penceritaan yang bermakna.

Selepas pratonton, ‘Darah Biru’ telah dilancarkan di platform rasmi Proton iaitu Facebook, Instagram dan YouTube, dengan jumlah tontonan mencecah 1.929 juta setakat ini. 

Menampilkan Jalil Hamid, Sathia Periasamy dan Akmal Ahmad, filem ini mengangkat kisah tentang perpaduan, ketabahan dan kebersamaan, yang mencerminkan pengalaman harian rakyat Malaysia sepanjang musim perayaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN