PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) terus memantau rapi bekalan bahan api negara bagi membantu memastikan kestabilan di seluruh negara susulan krisis yang sedang berlaku di Asia Barat.
Menurut kenyataannya, hampir 40 peratus keperluan minyak mentah negara melalui Selat Hormuz.
“Walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, negara ini tidak sepenuhnya terlindung daripada kesan krisis tersebut. Sejak krisis bermula, harga minyak mentah telah meningkat hampir 40 peratus.
“Susulan itu, kos penghantaran global, premium insurans serta kos logistik berkaitan penghantaran turut meningkat dengan ketara. Semua perkembangan ini telah memberi kesan kepada keselamatan bekalan bahan api Malaysia,” katanya.
Dari segi produk, syarikat minyak dan gas nasional itu berkata, permintaan domestik terus melebihi bekalan dalam negara.
Katanya, bagi menangani kekurangan ini, Petronas memanfaatkan rantaian nilai bersepadunya dengan bekerjasama melalui anak-anak syarikat untuk memastikan bekalan petrol dan diesel mencukupi, bagi menyokong pegangan pasaran hampir 50 peratus sehingga Mei 2026.
Menurutnya, baki bekalan pula disediakan oleh syarikat minyak lain yang beroperasi di Malaysia.
“Harga runcit bahan api di Malaysia dikawal oleh Kerajaan melalui Mekanisme Harga Automatik (APM). Walaupun berdepan tekanan global, kerajaan menyediakan subsidi bagi RON95 dan diesel untuk mengurangkan beban rakyat, menjadikan harga bahan api di Malaysia antara yang terendah di rantau ini.
“Petronas akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan serta pihak berkepentingan bagi mengurus sebarang potensi gangguan, selain mengutamakan keselamatan tenaga dan kesejahteraan negara.
“Memandangkan tempoh serta skala sebenar konflik di Iran masih tidak menentu, Petronas menggesa penggunaan tenaga secara lebih cekap oleh industri dan orang ramai,” jelasnya.
Syarikat itu juga menasihatkan orang awam agar tidak melakukan pembelian panik atau penyorokan bahan api kerana tindakan tersebut boleh memburukkan lagi kesan krisis ini. – UTUSAN










