PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menafikan penglibatannya dalam perjanjian bekalan bahan api yang melibatkan sebuah unit kerajaan tempatan di Filipina seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.
Syarikat minyak dan gas nasional berkata, ia tidak mengetahui tentang, mahupun terlibat dalam sebarang pengaturan sedemikian dan tidak memeterai sebarang perjanjian atau komitmen berkaitan
“Tumpuan segera Petrinas adalah untuk memastikan bekalan bahan api yang boleh dipercayai dan berterusan tersedia untuk Malaysia.
“Ini kekal menjadi keutamaan utamanya, disokong oleh rangkaian bekalan yang mantap dan penyelarasan rapat dengan kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, media Filipina melaporkan kerajaan wilayah Davao Del Norte di negara itu merancang untuk mengimport 44 juta liter bahan api dari Malaysia.
Langkah berani itu diambil bagi menjamin bekalan bahan api di wilayah berkenaan susulan ketegangan di Asia Barat yang semakin meningkat.
Gabenornya, Edwin Jubahib mengesahkan rundingan sedang berjalan dengan Petronas bagi perjanjian diesel yang bertujuan menstabilkan ketersediaan bahan api di seluruh wilayah berkenaan.
Edwin berkata, inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada usaha untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, namun butiran penting masih dirahsiakan sementara rundingan diteruskan. – UTUSAN











