PETALING JAYA: Syarikat minyak milik kerajaan Brazil, Petrobras, melaksanakan hak pembelian bagi membeli pegangan 50 peratus milik Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dalam dua medan luar pesisir di Brazil pada nilai AS$450 juta (RM1.76 bilion).
Menurut pemfailan sekuriti, langkah itu menyaksikan Petrobras akan memiliki sepenuhnya medan Tartaruga Verde serta Modul III medan Espadarte yang terletak di Lembangan Campos dengan gabungan pengeluaran purata sebanyak 55,000 tong sehari.
“Pengambilalihan ini dijangka membolehkan Petrobras menghubungkan telaga lain di medan Tartaruga Verde kepada aset baharunya, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi.
“Sebelum ini, Petrobras membuat penemuan di blok berhampiran, Sudoeste de Tartaruga Verde pada November lalu yang disifatkan sebagai “luar biasa” oleh ketua penerokaan dan pengeluarannya, Sylvia Anjos,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, syarikat minyak Brazil, Brava pada Januari lalu mengumumkan perjanjian untuk membeli pegangan berkenaan daripada Petronas sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang, sebelum Petrobras menggunakan opsyennya.
Bagaimanapun, kedua-dua syarikat tidak memberikan maklum balas segera berhubung pembatalan perjanjian terdahulu itu. – UTUSAN










