Penolakan awal tawaran ambil alih IJM di luar jangkaan pasaran - Utusan Malaysia

Penolakan awal tawaran ambil alih IJM di luar jangkaan pasaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keputusan Permodalan Nasional Berhad (PNB) menolak tawaran pengambilalihan IJM Corporation Bhd. sebelum tarikh tutup, mencetuskan persoalan dalam kalangan pemerhati pasaran, khususnya apabila tempoh pertimbangan masih berbaki beberapa minggu.

Tawaran pada harga RM3.15 sesaham itu kekal terbuka sehingga 6 April 2026, sekali gus memberi ruang kepada pelabur menilai perkembangan pasaran serta maklumat baharu yang mungkin muncul dalam tempoh berkenaan.

Penganalisis berpendapat, tindakan membuat keputusan terlalu awal dilihat luar kebiasaan memandangkan keadaan pasaran yang sentiasa berubah dan sukar diramal.

Lebih menarik, penolakan awal itu dilihat bertentangan dengan pandangan beberapa firma penyelidikan utama negara yang secara umumnya menilai tawaran berkenaan sebagai wajar.

Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) mengekalkan saranan “Terima” terhadap tawaran itu dengan potensi kenaikan modal sebanyak 22.6 peratus pada harga RM3.15 sesaham.

Sementara itu, RHB Investment Bank Bhd dan CIMB Securities, masing-masing mengekalkan saranan “Beli”, dengan harga sasaran pada paras RM3.15 dan RM3.50, mencerminkan keyakinan terhadap nilai tawaran berkenaan.

Semalam, PNB telah memutuskan untuk tidak menerima tawaran pengambilalihan sukarela (VTO) untuk 13.5 peratus pegangannya dalam IJM Corp.

“Keputusan untuk tidak menerima tawaran di bawah VTO telah dibuat oleh Jawatankuasa Pelaburan Lembaga PNB selepas penilaian yang teliti, teliti dan bebas yang dijalankan sepenuhnya mengikut proses pelaburan dan rangka kerja tadbir urus PNB.

“Penilaian itu merangkumi beberapa faktor, seperti anggaran nilai intrinsik asas saham IJM berbanding harga tawaran, komponen tunai terhad tawaran dan anggaran nilai saham yang akan dikeluarkan berbanding harga terbitan.

“Pertimbangan juga diberikan kepada prospek dividen dan potensi penciptaan nilai jangka panjang IJM,” menurut PNB.

Dalam konteks pasaran saham, tempoh sehingga tarikh tutup dianggap penting kerana harga saham boleh berubah dengan ketara bergantung kepada sentimen pasaran serta faktor luaran.

Antara sekarang dan 6 April, harga saham boleh menyusut dengan ketara atau meningkat melepasi harga tawaran, sekali gus mempengaruhi keputusan pelabur sama ada untuk menerima atau menolak tawaran berkenaan.

HLIB dalam panduan dagangannya menetapkan julat harga kemasukan antara RM2.45 hingga RM2.50 dengan paras henti rugi pada RM2.36, menunjukkan wujud jurang antara harga pasaran semasa dan harga tawaran.

Keadaan itu mengukuhkan kepentingan tempoh masa dalam membuat keputusan pelaburan, memandangkan menunggu tidak membabitkan kos, sebaliknya memberi peluang untuk bertindak balas terhadap perubahan pasaran.

Isu ini menjadi lebih signifikan apabila membabitkan institusi yang menguruskan dana bagi jutaan rakyat, di mana setiap keputusan perlu dibuat dengan penuh tanggungjawab dan berasaskan maklumat menyeluruh.

Firma penyelidikan turut menekankan potensi sinergi hasil penggabungan yang dicadangkan, termasuk keupayaan menggabungkan kepakaran kejuruteraan dan pembangunan bandar bersepadu merentas sektor pembinaan, hartanah dan infrastruktur.

RHB Investment Bank berkata, mengunjurkan entiti gabungan mampu menggandakan skala perniagaan dengan jangkaan pendapatan pro-forma mencecah RM17.1 bilion, sekali gus memberi impak kepada pulangan jangka panjang.

Dalam perkembangan berkaitan, situasi semasa turut dipengaruhi faktor luaran termasuk siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membabitkan tokoh korporat, yang secara tidak langsung menarik perhatian pelabur.

Laporan pasaran juga menyatakan bahawa syarikat terbabit kehilangan sekurang-kurangnya satu bidaan kontrak pusat data berskala besar, yang berpotensi menjejaskan aliran perniagaan masa hadapan.

Bagi syarikat dengan nilai buku pesanan sebanyak RM15.3 bilion, sebarang kehilangan kontrak boleh memberi kesan kepada penilaian jangka panjang yang menjadi asas pertimbangan pelabur.

Dalam pasaran kewangan, keyakinan pelabur bukan sahaja dipengaruhi oleh keputusan yang dibuat, tetapi juga masa dan cara keputusan tersebut dilaksanakan.

Sehubungan itu, pemerhati pasaran berpandangan, tempoh sehingga 6 April wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak bagi menilai tawaran secara objektif dan menyeluruh.

Dengan masa yang masih berbaki dan keadaan pasaran yang boleh berubah, mengekalkan pilihan terbuka dilihat sebagai pendekatan paling rasional dalam membuat keputusan pelaburan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN