Lebihan dagangan melonjak dipacu eksport E&E - Utusan Malaysia

Lebihan dagangan melonjak dipacu eksport E&E

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi perdagangan Malaysia bagi dua bulan pertama 2026 terus mencatatkan momentum memberangsangkan apabila lebihan dagangan melonjak 137.6 peratus kepada RM38.67 bilion.

Peningkatan itu disokong oleh pertumbuhan jumlah perdagangan sebanyak 11 peratus kepada RM516.89 bilion, hasil lonjakan eksport yang mengatasi kadar pertumbuhan import.

Barangan elektrik dan elektronik (E&E) kekal sebagai pemacu utama eksport negara dengan peningkatan ketara sebanyak 34.2 peratus kepada RM131.34 bilion, sekali gus menyumbang 47.3 peratus daripada jumlah eksport keseluruhan.

Selain itu, sektor jentera, kelengkapan dan peralatan turut mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 39.8 peratus kepada RM12.49 bilion.

Minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit pula terus menjadi antara penyumbang utama dengan nilai eksport RM12.41 bilion, meningkat 6.6 peratus.

Dari segi pasaran, Malaysia bukan sahaja mencatatkan pertumbuhan eksport yang tinggi ke pasaran tradisional seperti Amerika Syarikat (AS) dan Hong Kong, malah berjaya memperluaskan capaian ke pasaran baharu yang pesat membangun.

Antara negara yang mencatatkan peningkatan eksport ketara termasuk Uzbekistan, Mexico, Brazil, Afrika Selatan, Mesir, Mozambique, Sudan dan Ethiopia.

Perkembangan ini dilihat sebagai sebahagian daripada strategi kepelbagaian pasaran bagi mengurangkan kebergantungan terhadap hab perdagangan tradisional serta mengekang risiko ketidaktentuan global.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Abu Bakar Yusof berkata, peningkatan lebihan dagangan menunjukkan Malaysia berjaya mengekalkan momentum prestasi perdagangan sejak tahun lalu.

“Namun, keutamaan kini adalah mengurangkan kesan sekatan dua hala yang menjejaskan penghantaran logistik dengan memanfaatkan maklum balas masa nyata berkaitan rintangan maritim,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, tinjauan mendapati 63.9 peratus pengeksport menjangkakan operasi eksport mereka terjejas akibat kelewatan penghantaran serta peningkatan kos logistik.

“Sehubungan itu, Matrade menggerakkan pejabat di Dubai, Jeddah, Kaherah dan Doha bagi menyediakan risikan pasaran serta membantu pengeksport menyesuaikan strategi penghantaran.

“Pengeksport turut digalakkan meneroka laluan alternatif termasuk menggunakan pelabuhan berisiko rendah seperti Fujairah dan Salalah, selain memperluaskan pasaran ke Asia Selatan, Amerika Latin dan Afrika.

“Langkah ini diyakini mampu memastikan daya tahan perdagangan Malaysia kekal kukuh dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN