PETALING JAYA: Lazada meneruskan visi untuk memudahkan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) menjalankan operasi secara dalam talian.
Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Kaya Qin berkata, sebagai sebahagian daripada Alibaba Group, platform itu menyediakan pelbagai sokongan teknologi termasuk cadangan berasaskan kecerdasan buatan (AI), analitik data, penyelesaian pengiklanan automatik serta latihan menerusi Lazada University.
“AI membantu penjual daripada aspek pemaparan produk, cadangan iklan hingga analisis prestasi. Pada masa sama, kami juga menyediakan latihan berterusan supaya PKS dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran digital yang kompetitif,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Kaya, Lazada Malaysia akan terus memfokuskan kepada kualiti, kepercayaan dan pengukuhan ekosistem digital, ketika persaingan e-dagang semakin sengit.
pendekatan Lazada di Malaysia bukan sekadar platform jual beli dalam talian, sebaliknya membangunkan ekosistem menyeluruh yang merangkumi penjual, pelanggan, pencipta kandungan, sistem pembayaran dan logistik.
“E-dagang hari ini bukan lagi satu peranan tunggal. Ia adalah ekosistem penuh.
“Kami mahu memastikan setiap komponen daripada logistik hingga pembayaran bergerak secara konsisten bagi memberikan pengalaman 360 darjah kepada pelanggan,” katanya.
Pada 2026, Lazada akan memberi tumpuan besar kepada LazMall sebagai teras strategi.
“Platform itu menempatkan kedai jenama rasmi dan penjual yang melalui proses saringan serta pengesahan dokumen yang ketat,” katanya.
Kaya berkata, pendekatan ini selaras dengan DNA awal Lazada yang bermula dengan model pemilihan produk dan kawalan kualiti sebelum berkembang kepada model pasaran.
“Keutamaan kami adalah kualiti dan kepercayaan. Ini termasuk penghantaran pantas, penghantaran percuma, maklumat penjual yang telus serta sistem penilaian yang jelas.
“Kami tidak mahu bersaing semata-mata dari segi harga rendah, tetapi pada nilai dan pengalaman keseluruhan,” katanya.
Mengulas trend semasa, beliau berkata, pengguna Malaysia kini semakin bijak dan selektif dalam membuat pembelian.
“Jika dahulu pembelian banyak didorong harga, kini pengguna lebih mementingkan kualiti, pengalaman serta reputasi jenama. Mereka membuat perbandingan dan mahukan maklumat yang lebih telus sebelum membeli,” katanya.
Menurut beliau, sejajar dengan perkembangan ekonomi digital pasca pandemik yang menyaksikan pengguna lebih berhati-hati dalam perbelanjaan.
Mengulas keutamaan tahun hadapan, Kaya menegaskan fokus utama adalah memperkukuh ekosistem sedia ada dan meningkatkan pengalaman pelanggan serta penjual secara konsisten.
“Kami mahu memastikan keseluruhan ekosistem daripada jenama besar hingga PKS tempatan berkembang bersama. Fokus kami kekal kepada kepercayaan, kualiti dan pengalaman pelanggan yang menyeluruh,” katanya. – UTUSAN










