Labuan IBFC diiktiraf antara Pusat Kewangan Asia Pasifik 

Labuan IBFC diiktiraf antara Pusat Kewangan Asia Pasifik 

LABUAN FSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (IBFC) terus mengukuhkan kedudukannya di peringkat global dengan meningkat ke tangga ke-55 dalam Indeks Pusat Kewangan Global (GFCI 39), berbanding tangga ke-60 sebelum ini. 

Daripada 120 pusat kewangan di seluruh dunia, prestasi lebih kukuh Labuan IBFC mencerminkan profil antarabangsa yang semakin berkembang, daya saing yang diperkukuh serta hala tuju pembangunan yang berpandangan jauh.

Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) berkata, GFCI merupakan penanda aras global yang diiktiraf bagi menilai daya saing pusat kewangan dan dianggap sebagai salah satu penilaian paling berwibawa terhadap hab kewangan utama dunia.

Dalam GFCI 39, Labuan IBFC mencatat beberapa pencapaian penting yang menjadi petunjuk utama kepada kekuatan dan daya saingnya yang semakin meningkat iaitu tersenarai dalam enam pusat kewangan Asia Pasifik teratas yang menunjukkan peningkatan dalam indeks, satu pencapaian membanggakan yang menonjolkan kebangkitan Labuan di rantau ini.

Katanya, pusat ini turut meningkat daripada kategori International Specialist kepada International Contender, mencerminkan pengaruh yang semakin berkembang, keupayaan pasaran yang lebih luas, serta daya tarikan yang meningkat sebagai hab kewangan global yang kompetitif. 

“Peralihan ini juga menandakan pengembangan melangkaui fokus khusus kepada rangkaian perkhidmatan kewangan yang lebih menyeluruh. 

“Selain kedudukan utama GFCI, Labuan IBFC turut diiktiraf dalam penawaran FinTech dengan menduduki tempat ke-37 dunia, mengatasi beberapa pusat kewangan utama di rantau ini, sekali gus menyerlahkan keupayaan inovasi dan kepimpinannya dalam teknologi kewangan.

“Labuan IBFC juga diiktiraf sebagai salah satu daripada 15 pusat kewangan teratas yang mempunyai kelebihan reputasi, mencerminkan tahap keyakinan pelabur global serta kesedaran terhadap kekuatan pusat ini,” katanya dalam kenyataan.

Selain rangkaian penawaran yang komprehensif, Labuan IBFC semakin dikenali sebagai pintu masuk strategik yang selamat dan berwibawa bagi aliran dana rentas sempadan, khususnya di Asia dan pasaran sedang pesat membangun. 

Kedudukan ini turut diperkukuh oleh keputusan Penilaian Bersama FATF Malaysia 2025 yang positif, yang menonjolkan peningkatan ketara dalam keupayaan negara menangani kewangan haram serta mengiktiraf Labuan IBFC sebagai sebahagian daripada kekuatan rangka kerja AML/CFT/CPF Malaysia.

Disokong oleh rangka kerja peraturan yang mesra perniagaan, kecekapan cukai dan keupayaan penstrukturan rentas sempadan yang lancar, Labuan IBFC berada pada kedudukan kukuh untuk memudah cara pengumpulan modal, domisiliasi dana dan pengurusan kekayaan bagi pelabur global. 

Hubungannya yang erat dengan sistem kewangan Malaysia turut meningkatkan nilai tawarannya, menawarkan ekosistem kewangan dwi yang unik, menggabungkan fleksibiliti antarabangsa dengan kestabilan dan akses pasaran domestik.

Sebagai hab yang sedang berkembang dalam kewangan mampan dan berteraskan iklim, Labuan IBFC terus memacu penyelesaian inovatif yang selari dengan trend global ESG dan kewangan Islam. 

Dengan penawaran seperti sukuk iklim serta ekosistem yang semakin berkembang melibatkan pertukaran digital Islam, bank digital Islam dan platform sukuk khusus, pusat ini semakin mengukuhkan kedudukannya di barisan hadapan kewangan beretika dan berimpak tinggi.

Sementara itu, Pengarah Agung Labuan FSA, Affendi Rashdi berkata, Labuan IBFC berada pada kedudukan terbaik untuk melengkapi ekosistem kewangan Malaysia secara keseluruhan.

“Ini sekali gus memperkukuh daya tarikan negara sebagai destinasi pilihan bagi dana antarabangsa yang mencari kestabilan, daya tahan dan pertumbuhan strategik dalam satu pakej,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN