PETALING JAYA: Harga minyak mentah Brent naik hingga AS$104.26 (RM411.49) setong pada Selasa, pulih sebahagian daripada kerugian sesi sebelumnya apabila Iran menolak dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dengan menafikan sebarang rundingan untuk menamatkan konflik.
Pada Isnin, Brent susut sehingga AS$97.71 (RM385.64) setong, manakala Minyak West Texas Intermediate (WTI) merosot sekitar 10 peratus kepada AS$86.16 (RM340.06) selepas Trump menangguhkan serangan yang dirancang ke atas infrastruktur tenaga Iran selama lima hari dan menyatakan rundingan yang produktif sedang berlangsung.
Tehran menyifatkan pengumuman Trump sebagai cubaan untuk mempengaruhi pasaran kewangan dan melancarkan serangan baharu terhadap sasaran AS, manakala Israel terus melaksanakan serangan ke atas Iran.
Penangguhan itu dilihat sebagai usaha untuk menstabilkan harga minyak, dengan Trump menyatakan harga akan ‘jatuh merudum’ sebaik sahaja perjanjian dicapai.
Bagaimanapun, hasil sebarang rundingan serta kemungkinan pembukaan semula Selat Hormuz kekal sangat tidak menentu, sekali gus menyebabkan pasaran terus berhati-hati.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, situasi perang di Iran adalah sesuatu yang sukar dijangka disebabkan maklumat yang sentiasa bercanggah dan tidak konsisten terutama daripada pihak AS.
Katanya, pasaran tidak pasti dengan pelanjutan tempoh untuk mengebom loji penjanaan kuasa di Iran dari 48 jam kepada lima hari.
“Justeru, harga minyak mentah akan kekal tinggi dan gangguan terhadap bekalan minyak mentah dan gas serta produk lain seperti bahan kimia dan baja juga turut terus terganggu.
“Implikasinya adalah kos bahan api yang diimport menjadi mahal. Namun, subsidi bahan api sedikit sebanyak membantu dalam mengekang kenaikan bahan api di peringkat domestik.
“Bagaimanapun, sektor logistik yang melibatkan perkapalan dan penerbangan menghadapi kenaikan kos bahan api, di samping perjalanan yang lebih jauh bagi mengelakkan kawasan konflik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, harga minyak mentah yang tinggi ini sememangnya memberi manfaat kepada sektor minyak dan gas, tetapi kenaikan harga ini bersifat sementara kerana perubahan struktur dalam permintaan produk minyak dan gas terutama daripada sektor pengangkutan telah mengubah corak penggunaan tenaga yang kini lebih cekap.
“Dalam kata lain, permintaan daripada sektor pengangkutan dijangka terus menurun disebabkan faktor penggunaan tenaga boleh baharu (TBB), Sustainable Aviation Fuel (SAF), biodiesel, dan peningkatan kenderaan elektrik (EV).
“Justeru, sekiranya perang ini berakhir sudah pasti harga minyak mentah akan mengalami fasa pembetulan. Meskipun demikian, tidak dinafikan bahawa perang ini telah menyebabkan kerosakan yang teruk terhadap infrastruktur dan fasiliti sektor minyak dan gas di negara Teluk,” ujarnya.
Sementara itu, MBSB Investment Bank Berhad berkata, pihaknya mengekalkan unjuran harga minyak mentah pada paras AS$90 (RM355.15) hingga AS$100 (RM394.62) setong, susulan konflik berterusan di Asia Barat menyebabkan kerosakan kepada infrastruktur tenaga utama, sekali gus menjejaskan bekalan minyak dan gas.
Menurutnya, sebahagian aset yang terjejas dijangka memerlukan tempoh yang lebih panjang untuk kembali beroperasi sepenuhnya.
“Berlatarbelakangkan situasi ini, kami berpandangan bahawa pemain sokongan huluan berpotensi meraih manfaat daripada peningkatan aktiviti industri sekiranya harga minyak kekal tinggi,” jelasnya.
Bank pelaburan berkata, pilihannya dalam segmen ini termasuk Malaysia Marine and Heavy Engineering dengan harga sasaran (TP) RM0.55, Deleum Berhad dengan (TP: RM1.92) serta Bumi Armada Berhad (TP: RM0.54)
“Kami percaya mereka berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan peningkatan permintaan dalam kejuruteraan luar pesisir, perkhidmatan penyelenggaraan serta operasi pengeluaran terapung, selaras dengan momentum peningkatan pelaburan dalam sektor huluan,” jelasnya. – UTUSAN










