PETALING JAYA: IOI Properties Group Berhad (IOIPG) pemaju hartanah pertama yang diumumkan sebagai rakan bagi penyelesaian pembiayaan Affin Home Reno/-i dan Flexi Save/-i untuk hartanah kediaman dan komersial terpilih di Lembah Klang dan Johor.
Kerjasama ini memberi akses yang lebih baik kepada pembeli rumah dan pembeli hartanah komersial kepada pelbagai alat pembiayaan yang komprehensif.
Melalui Affin Home Reno/-i, pembeli rumah dapat menikmati fleksibiliti kewangan yang lebih tinggi apabila ingin membeli dan menyesuaikan kediaman idaman mereka di dalam bandar-bandar pembangunan IOIPG.
Bagi pembeli hartanah komersial pula, mereka boleh memanfaatkan Flexi Save/-i, iaitu alat pembiayaan fleksibel sepenuhnya yang pertama seumpamanya tanpa tempoh “lock-in”, bagi hartanah komersial terpilih dalam portfolio bandar matang dan berkembang milik kumpulan tersebut.
Bandar-bandar pembangunan di Lembah Klang dan Johor yang terlibat termasuk IOI Resort City, 16 Sierra, Bandar Puchong Jaya, Bandar Puteri Puchong, Warisan Puteri, Senna Puteri, dan Bandar Putra Kulai.
Semua kawasan ini dirancang secara menyeluruh untuk menyokong komuniti kediaman dan perniagaan berkembang dengan baik.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Pembangunan Hartanah (Malaysia), Teh Chin Guan berkata, kerjasama dengan AFFIN Bank ini membolehkan pembeli hartanah kediaman dan komersial kami mendapat akses yang lebih baik kepada kemudahan kewangan untuk memiliki rumah impian atau alamat perniagaan mereka bersama IOI Properties Group.
“Penyelesaian pembiayaan ini memberi fleksibiliti kewangan yang lebih besar untuk membina masa depan yang berjaya di bandar-bandar kami yang terancang dan saling berhubung,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Wan Razly Abdullah berkata, matlamat kumpulan melalui penyelesaian pembiayaan AFFIN Home Reno/-i dan Flexi Save/-i adalah untuk membantu pemilik rumah mewujudkan ruang kediaman ideal dengan lebih tenang, serta memberi pelabur fleksibiliti yang lebih besar dalam memiliki alamat perniagaan.
Katanya, AFFIN Home Reno/-i menggabungkan pinjaman perumahan dan kos pengubahsuaian dalam satu pakej dengan margin pembiayaan sehingga 120 peratus, membolehkan pemilik rumah merancang reka bentuk dalaman rumah impian mereka sejak hari pertama.
“Manakala AFFIN Flexi Save/-i pula membolehkan peminjam mengimbangi baki pembiayaan dengan simpanan deposit mereka, yang berpotensi mengurangkan bayaran faedah atau keuntungan serta memberikan fleksibiliti kewangan tambahan,” katanya. – UTUSAN










