PETALING JAYA: Cadangan pengambilalihan bersyarat secara sukarela oleh Sunway Berhad ke atas semua saham biasa dalam IJM Corporation Berhad pada harga tawaran RM3.15 sesaham disifatkan sebagai tidak adil dan tidak munasabah, menurut penasihat bebas yang dilantik syarikat itu.
Berdasarkan pendekatan penilaian jumlah bahagian (SOPV), nilai saham IJM dianggarkan antara RM5.84 hingga RM6.48 sesaham, sekali gus menunjukkan harga tawaran RM3.15 mewakili diskaun sekitar 46.1 peratus hingga 51.4 peratus berbanding nilai tersebut.
Selepas mengambil kira pelarasan berkaitan pengagihan saham Sunway, nilai tersirat tawaran juga dianggarkan sekitar RM3.08 sesaham, yang masih menunjukkan diskaun antara 47.3 peratus hingga 52.4 peratus berbanding nilai anggaran IJM.
Perkara tersebut dimaklumkan kepada Bursa Malaysia melalui pengeluaran Pekeliling Nasihat Bebas (IAC) oleh M&A Securities Sdn. Bhd., yang bertindak sebagai penasihat bebas kepada lembaga pengarah IJM dan pemegang saham berhubung tawaran tersebut.
“Di bawah cadangan itu, pemegang saham IJM yang menerima tawaran akan dibayar RM3.15 bagi setiap saham yang dipegang, terdiri daripada 10 peratus bayaran tunai sebanyak RM0.315 dan 90 peratus dalam bentuk saham baharu Sunway pada harga terbitan RM5.65 sesaham.
“Selain itu, susulan pengumuman dividen tunai dua sen sesaham oleh Sunway pada 25 Februari lalu, pemegang saham yang menerima tawaran akan memperoleh tambahan satu sen tunai bagi setiap saham IJM. Bagaimanapun, M&A Securities menilai harga tawaran itu jauh lebih rendah daripada anggaran nilai sebenar saham IJM,” katanya.
Menurut penilaian penasihat bebas itu, saham IJM juga mempunyai tahap kecairan dagangan yang baik di pasaran.
“Bagi tempoh 12 bulan sehingga Disember 2025, saham IJM mencatat purata dagangan bulanan kira-kira 188 juta saham, bersamaan sekitar 6.66 peratus daripada jumlah saham bebas, lebih tinggi berbanding purata kecairan indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI yang sekitar 4.86 peratus.
“Keadaan itu memberi ruang kepada pemegang saham untuk menjual pegangan mereka di pasaran terbuka tanpa perlu menerima tawaran tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, M&A Securities berkata, pemegang saham yang menerima tawaran akan menukar pegangan mereka daripada 100 peratus kepentingan dalam IJM kepada pegangan minoriti dalam Sunway, yang dianggarkan sekitar 20.6 peratus dalam kumpulan Sunway yang diperbesarkan.
Katanya, situasi itu bermakna pemegang saham akan mempunyai pengaruh yang lebih kecil terhadap keputusan strategik berkaitan operasi dan aset IJM, selain terdedah kepada risiko integrasi antara dua konglomerat besar tersebut. – UTUSAN










