HUAWEI Malaysia melancarkan HUAWEI Mate 80 Pro, telefon pintar utama terbaharu yang menampilkan komitmen berterusan jenama itu terhadap inovasi dengan menggabungkan teknologi kamera generasi baharu, reka bentuk yang diperhalusi serta keupayaan sistem yang berkuasa.
Peranti yang dijual pada harga RM3,999 tersebut turut membawa janji ‘See it True’ Huawei kepada realiti melalui keupayaan pengimejan yang mampu merakam setiap perincian dengan ketulenan yang luar biasa.
Mate 80 Pro memperkenalkan seni bina kamera yang dipertingkat bagi memberikan ketepatan pada pelbagai jarak fokus.
Sistem tiga kameranya yang serba boleh merangkumi Kamera Ultra Lighting 50MP dengan sensor besar 1/1.28 inci, Lensa Telefoto Makro Ultra Lighting 48MP dengan zum optikal empat kali, serta Kamera Sudut Ultra Lebar 40MP.
Ini membolehkan pengguna merakam pelbagai pemandangan daripada landskap luas hingga kepada perincian jarak dekat dengan kejelasan yang luar biasa.
Model ini turut dilengkapi sistem kamera True-to-Colour yang dipertingkatkan, yang mengekalkan ketepatan warna dan keseimbangan tona dalam pelbagai keadaan pencahayaan, sekali gus memastikan tekstur semula jadi dan tona yang realistik sama ada dalam suasana terang di luar mahupun persekitaran dalaman yang malap.
Melengkapkan keupayaan ini, ciri fotografi pintar Huawei meningkatkan lagi pengalaman penggambaran melalui AI Composition, yang memberikan panduan pembingkaian secara masa nyata untuk membantu pengguna menghasilkan gambar seperti seorang profesional.
Ciri ini menganalisis pemandangan secara masa nyata, menilai subjek, garisan, cahaya dan keseimbangan bagi mencadangkan komposisi terbaik.
Ia turut mencadangkan potongan atau zum yang sesuai serta memaparkan panduan komposisi secara halus terus pada paparan kamera.

Ciri kecerdasan buatan (AI) lain termasuk AI Remove yang membolehkan pengguna membuang individu atau elemen yang tidak diingini dalam latar belakang dengan mudah serta AI Best Expression yang merakam beberapa tangkapan secara automatik dan memilih ekspresi terbaik untuk menghasilkan foto berkumpulan yang paling sempurna.
Mate 80 Pro melambangkan kemuncak legasi Siri Mate yang dibina melalui bertahun-tahun penyelidikan, kecemerlangan kejuruteraan dan inovasi berterusan.
Sejak pengenalan telefon pintar Mate yang pertama, siri ini sentiasa menolak sempadan keupayaan peranti flagship.
Dengan Mate 80 Pro, Huawei menggabungkan keupayaan pengimejan paling maju, prestasi pintar dan reka bentuk premium bagi memberikan peranti yang membolehkan pengguna melihat dan merakam dunia dengan lebih jelas serta autentik.
Dari segi ketahanan, Mate 80 Pro meneruskan legasi kukuh Siri Mate dengan Kunlun Glass generasi kedua yang menampilkan nanokristal berkekuatan tinggi, menjadikannya sehingga 20 kali lebih tahan terhadap jatuhan dan hentakan berbanding panel kaca konvensional.
Ia turut dilengkapi panel belakang gentian vegan ultra tahan lasak yang memberikan ketahanan tambahan serta kemasan sentuhan premium.
Peranti ini juga menawarkan perlindungan menyeluruh terhadap air dan habuk dengan penarafan IP68 (tahan air sehingga kedalaman enam meter) serta IP69 yang tahan terhadap semburan air bertekanan tinggi dan suhu tinggi.
Selain itu, ia dilengkapi sistem penyejukan SuperCool Dual Phase Change, yang meningkatkan kecekapan kekonduksian haba sebanyak 16 peratus berbanding penyelesaian penyejukan tradisional serta mengurangkan kadar peningkatan suhu peranti sehingga 33 peratus, sekali gus menangani masalah pemanasan berlebihan secara lebih berkesan.
Peranti ini turut menampilkan reka bentuk Dual Space Ring, evolusi kepada modul kamera ikonik Huawei yang menggabungkan keseimbangan simetri dengan estetika kontemporari.
Peranti ini ditawarkan dalam pilihan warna emas, hijau dan hitam, diinspirasikan daripada elemen semula jadi yang mencerminkan identiti premium Siri Mate.
Sempena pelancaran tersebut, HUAWEI Malaysia turut bekerjasama dengan Tourism Malaysia untuk memperkenalkan kempen fotografi ‘See, Truly Malaysia’, yang membawa janji ‘See it True’ kepada kehidupan dengan merakam warisan, landskap serta budaya Malaysia yang mempesona melalui keupayaan pengimejan Mate 80 Pro.
Seiring pelancaran tersebut, Huawei turut memperkenalkan beberapa tambahan kepada ekosistem peranti pintarnya termasuk HUAWEI FreeBuds Pro 5, HUAWEI WATCH Ultimate 2 dalam warna hijau serta HUAWEI FreeClip 2 emas mereh jambu.-UTUSAN










