PETALING JAYA: Tawaran pengambilalihan oleh Sunway Bhd terhadap IJM Corporation Bhd pada harga RM3.15 sesaham terus menjadi fokus perbincangan dalam kalangan penganalisis pasaran.
Kebanyakan firma penyelidikan tempatan melihat tawaran tersebut sebagai peluang menarik untuk pelabur merealisasikan keuntungan, terutamanya dalam keadaan pasaran yang mencabar dan tidak menentu.
Beberapa penganalisis menekankan, harga yang ditawarkan memberikan premium yang wajar berbanding harga pasaran semasa saham IJM, sekaligus menjadikannya satu peluang yang berpotensi menguntungkan bagi pemegang saham.
Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) mengekalkan saranan “Terima” sejak Januari lalu, berpandangan tawaran berkenaan memberi peluang kepada pelabur untuk merealisasikan keuntungan pada harga premium.
Pandangan sama turut dikongsi MBSB Research yang menyifatkan tawaran itu sebagai adil, dengan mengambil kira risiko pelaksanaan projek serta tekanan kos yang masih membelenggu sektor pembinaan.
TA Securities pula melihat penerimaan tawaran sebagai langkah pragmatik, khususnya bagi pelabur yang mahu menzahirkan nilai pelaburan dalam tempoh terdekat.
Bagaimanapun, RHB Investment Bank Bhd mengekalkan saranan “Beli” dengan harga sasaran RM3.15 sesaham, sejajar dengan harga tawaran berkenaan.
Dalam masa sama, CIMB Securities meletakkan harga sasaran lebih tinggi pada RM3.50 sesaham, mencerminkan jangkaan nilai masa depan yang lebih besar.
Perbezaan pandangan ini memperlihatkan bahawa isu berkenaan tidak sekadar tertumpu kepada harga tawaran semasa, sebaliknya berkait rapat dengan jangkaan terhadap keupayaan IJM menzahirkan nilai asetnya dalam tempoh sederhana hingga panjang.
Harga RM3.15 sesaham itu sendiri mewakili premium berbanding harga dagangan semasa, sekali gus membuka ruang kepada pelabur untuk mengunci keuntungan dalam jangka pendek.
Namun begitu, penilaian bebas sebelum ini menunjukkan nilai intrinsik IJM berpotensi lebih tinggi, disokong oleh aset konsesi lebuh raya, bank tanah serta buku pesanan pembinaan yang kekal kukuh.
Situasi ini meletakkan pelabur dalam dilema klasik, sama ada menerima premium hari ini atau menunggu potensi peningkatan nilai pada masa depan.
Dalam konteks itu, pendekatan “raih kedua-dua” mula mendapat perhatian dalam kalangan pemerhati pasaran, iaitu menjual sebahagian pegangan pada harga premium sambil mengekalkan bakinya untuk potensi pertumbuhan jangka panjang.
Strategi sedemikian lazim digunakan oleh pelabur institusi sebagai kaedah mengimbangi risiko dan pulangan.
Pada masa sama, pendirian pemegang saham utama seperti Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dilaporkan tidak menyokong tawaran itu turut menjadi perhatian.
Keputusan berkenaan mencerminkan pertimbangan komersial serta tanggungjawab terhadap kepentingan pemegang unit dan pencarum.
Selain itu, sentimen pasaran turut dipengaruhi faktor luaran termasuk spekulasi berkaitan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta perkembangan kontrak pusat data.
Semua faktor ini menjadikan penilaian terhadap tawaran berkenaan lebih kompleks.
Akhirnya, keputusan pelaburan dalam situasi ini bergantung kepada strategi serta tahap toleransi risiko setiap pelabur.-UTUSAN










