PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka kekal berdaya tahan pada suku kedua 2026 meskipun berdepan ketidaktentuan global berterusan, termasuk ketegangan di Asia Barat dan kenaikan harga minyak.
Rakuten Trade Research menjangkakan Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mampu mencapai paras 1,800 mata, berasaskan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 17 kali bagi tahun kewangan 2026.
Ketua Penyelidikan Rakuten Trade, Kenny Yee berkata, pasaran dijangka kekal tidak menentu susulan faktor geopolitik dan turun naik harga komoditi.
“Namun begitu, prospek pendapatan Malaysia yang semakin baik serta sokongan faktor domestik dijangka terus menyokong pasaran.
“Tema struktur seperti pembangunan infrastruktur dan peningkatan permintaan elektrik yang dipacu pelaburan pusat data turut dijangka memberi sokongan tambahan kepada sektor terpilih dalam pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pendapatan korporat di Malaysia diunjurkan berkembang 7.9 peratus pada 2026 selepas prestasi lebih lemah pada 2025, manakala pertumbuhan bagi 2027 dianggarkan sebanyak 5.5 peratus.
“Penyertaan pelabur asing menunjukkan momentum positif dengan aliran masuk bersih RM1.28 bilion setakat tahun ini, selain pegangan asing kekal stabil sekitar 19 peratus.
“Penyertaan pelabur runcit pula kekal sederhana pada 14.9 peratus, dengan tumpuan kepada saham berwajaran tinggi (blue-chip).
“Ringgit dijangka didagangkan dalam lingkungan RM3.80 hingga RM3.90 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS),” ujarnya.
Kenny berkata, Rakuten Trade berpandangan walaupun turun naik jangka pendek dijangka berterusan, peningkatan pendapatan Malaysia, asas sektor yang kukuh serta penyertaan pelabur asing yang berterusan dijangka menyokong pasaran.
“Pelabur dinasihatkan agar kekal selektif dengan memberi tumpuan kepada syarikat yang mempunyai keterlihatan pendapatan yang jelas serta pendedahan kepada tema pertumbuhan struktur.
“Ini di samping menyeimbangkan peluang dengan risiko global susulan perkembangan geopolitik dan makroekonomi semasa,” jelasnya.
Rakuten Trade mengekalkan penarafan ‘Overweight’ bagi sektor perbankan, pembinaan, pengguna, minyak dan gas, perladangan, utiliti serta teknologi.
Ini disokong oleh pendapatan yang kukuh, projek infrastruktur utama, trend komoditi serta peningkatan permintaan elektrik daripada ekosistem pusat data yang berkembang.
Sektor yang diberi penarafan ‘Neutral’ termasuk automotif, sarung tangan, penjagaan kesihatan, hartanah, amanah pelaburan hartanah (REIT) dan telekomunikasi, dengan peluang terpilih dalam pasaran.
Bagi saham berwajaran tinggi, antara pilihan utama ialah AMMB Holdings Berhad (AmBank) susulan peningkatan pendapatan faedah bersih dengan unjuran keuntungan bersih tahun kewangan 2026 sebanyak RM2.12 bilion.
Selain itu, CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) dengan unjuran keuntungan bersih RM8.40 bilion serta pulangan dividen menarik dan Gamuda Berhad (Gamuda) yang mempunyai keterlihatan buku pesanan kukuh sebanyak RM45.9 bilion.
Ia turut merangkumi Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) dengan prospek perladangan huluan yang berdaya tahan serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan elektrik susulan pembangunan pusat data.
Bagi saham bermodal kecil, pilihan termasuk Kerjaya Prospek Berhad, Inta Bina Group Berhad dan Powerwell Holdings Berhad. – UTUSAN










