PETALING JAYA: Ekovest Bhd. menandatangani perjanjian konsesi selama 54 tahun dengan kerajaan bagi pembinaan Laluan Istana–Kiara (LIKE), iaitu sebahagian daripada Fasa 2A Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE).
Laluan LIKE dianggarkan melibatkan kos pembinaan sebanyak RM2.32 bilion.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, di bawah perjanjian tersebut, syarikat akan melaksanakan kerja reka bentuk dan pembinaan, termasuk kerja menaik taraf serta melebarkan laluan, selain membekal dan memasang peralatan tol serta telekomunikasi.
“Perjanjian itu membenarkan Ekovest mengurus dan mengendalikan sistem kutipan tol, mengutip serta mengekalkan hasil tol selain menyelia kemudahan sampingan sepanjang tempoh konsesi.
“Ekovest turut bertanggungjawab menyelenggara lebuh raya dan pejabat pentadbiran berkaitan, termasuk semua aktiviti berkaitan yang diperlukan di bawah perjanjian konsesi tersebut, dan dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan masa hadapan serta aset ketara bersih kumpulan,” katanya.
Kos pembinaan akan dibiayai melalui dana dalaman, pinjaman dan/atau usaha pengumpulan dana lain.
Konsesi tersebut menyusul selepas kelulusan kerajaan pada Mei 2025 bagi pembinaan dua laluan penghubung iaitu Laluan Istana Kiara dan Kampung Baru Link ke lebuh raya utama DUKE.
Laluan Kampung Baru Link ketika ini sedang dimuktamadkan dengan tarikh akhir ditetapkan pada 31 Disember 2026.
Kelulusan tersebut juga susulan persetujuan prinsip yang diberikan pada Januari 2017 bagi penswastaan dua laluan itu serta Kapar Link.
Secara keseluruhan, tiga laluan berkenaan merangkumi kira-kira 75.2 kilometer dan akan disambungkan ke lebuh raya utama DUKE di sekitar Lembah Klang dengan kos projek keseluruhan dianggarkan RM6.32 bilion.
Sejak dibuka pada Oktober 2017, DUKE 2 mencatatkan pertumbuhan trafik yang stabil dengan purata trafik harian tahunan meningkat kepada 89,103 kenderaan pada separuh pertama tahun kewangan 2024.
Ia mencatatkan kenaikan 6.2 peratus berbanding tahun kewangan 2023 dan 47 peratus lebih tinggi berbanding paras 2019.
Pada dagangan tengah hari, saham Ekovest Bhd meningkat 0.5 sen atau 2.1 peratus kepada 24 sen dengan nilai pasaran syarikat sebanyak RM711.7 juta.
Sepanjang tempoh setahun lalu, saham syarikat itu susut 14.3 peratus. – UTUSAN










