KUALA LUMPUR: Platform pop-up runcit premium, cirKLe. menyasarkan sehingga 50,000 pengunjung sepanjang penganjuran Eid Semester 2026 yang menghimpunkan pereka fesyen tempatan sempena musim perayaan Aidilfitri kali ini.
Penganjuran kali kedua pop-up runcit tersebut berlangsung dari 28 Februari hingga 8 Mac ini di The Campus Ampang.
Pengarah kreatif cirKLe., Min Luna berkata, sasaran itu dilihat realistik berdasarkan sambutan pada hujung minggu pertama yang merekodkan kira-kira 10,000 pengunjung.
Menurutnya, secara keseluruhan pihak penganjur menjangkakan sekurang-kurangnya 50,000 pengunjung, namun berharap jumlah tersebut boleh mencecah sehingga 70,000 orang menjelang hari terakhir acara pada 8 Mac ini.
“cirKLe. ini kali kedua dianjurkan di Ampang dan kami melihat sambutan yang sangat baik daripada pengunjung sekitar kawasan ini.
“Sebelum ini, kebanyakan pop-up premium tertumpu di kawasan seperti KLCC, jadi kami mahu membawa pengalaman yang sama ke Ampang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambahnya, cirKLe. merupakan singkatan kepada Circle of KL People yang diwujudkan bagi menghimpunkan komuniti kreatif, pereka fesyen dan jenama tempatan dalam satu platform runcit yang lebih tersusun dan berkonsep.
“Saya sedar apabila orang mahu membeli-belah, suasana sangat mempengaruhi perbelanjaan mereka. Jika ruang itu tenang, cantik dan tersusun, orang akan lebih selesa untuk meluangkan masa dan berbelanja.
“Di Malaysia, pop-up yang menitikberatkan reka bentuk imersif masih kurang, jadi kami cuba membawakan pengalaman tersebut melalui cirKLe.,” ujarnya.
Edisi tahun ini menampilkan 42 vendor tempatan merangkumi fesyen, aksesori dan gaya hidup termasuk jenama seperti UMMA, Petra, Dally dan Ayaya yang dipilih sendiri oleh pihak penganjur.
Menurut Min Luna, pemilihan jenama dilakukan dengan menghimpunkan rakan pereka fesyen serta jenama baharu yang berpotensi untuk membina sebuah pop-up yang lebih baik dari segi konsep dan persembahan.
Selain jualan runcit, cirKLe. turut menampilkan pelbagai aktiviti komuniti seperti studio fotografi khas, sesi ceramah Ramadan serta pengalaman interaktif yang bertujuan mewujudkan suasana yang lebih menyeluruh kepada pengunjung.
Dalam pada itu, cirKLe. juga mendapat sambutan meluas di platform digital dengan kandungan berkaitan acara tersebut mencatatkan lebih sejuta capaian (engagement) di TikTok.
Min Luna berkata, kejayaan tersebut membuka peluang kepada pihaknya untuk membawa konsep cirKLe. ke pusat beli-belah lain pada masa hadapan.
“Matlamat kami bukan sekadar menganjurkan pop-up, tetapi membantu jenama tempatan berkembang dan memperluas pasaran mereka.
“Kami juga menyasarkan penganjuran cirKLe. sekurang-kurangnya setiap suku tahun bagi memberi lebih banyak peluang kepada jenama baharu untuk menyertai platform ini,” katanya. – UTUSAN










