BNM kekalkan OPR pada 2.75 peratus - Utusan Malaysia

BNM kekalkan OPR pada 2.75 peratus

BANK Negara Malaysia (BNM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kali kedua pada 2.75 peratus.

Bank pusat itu berkata, berlandaskan kekukuhan pada 2025, pertumbuhan global akan terus disokong oleh permintaan dalam negeri berterusan, inflasi yang semakin berkurang, pelaburan teknologi yang mantap serta sokongan dasar fiskal dan monetari. 

“Walau bagaimanapun, konflik terkini di Asia Barat telah meningkatkan ketidaktentuan dalam ekonomi global. 

“Kesan terhadap ekonomi global akan bergantung pada tempoh dan keseriusan konflik. 

“Berikutan perkembangan terkini, risiko pertumbuhan menjadi perlahan telah meningkat disebabkan oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing dan volatiliti yang ketara dalam pasaran kewangan global,” katanya dalam kenyataan. 

Selain itu, BNM berkata, masih terdapat kebimbangan yang berterusan terhadap kemungkinan tarif yang lebih tinggi dan penilaian yang tinggi dalam pasaran kewangan. 

“Pertumbuhan berpotensi menjadi pesat termasuk perbelanjaan untuk teknologi yang lebih kukuh, kesan tarif yang lebih sederhana terhadap kegiatan ekonomi serta dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju,” katanya.

Sementara itu, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berada pada 1.6 peratus dan 2.3 peratus pada bulan Januari 2026. 

Katanya, secara keseluruhan, inflasi keseluruhan pada 2026 dijangka kekal sederhana. 

“Walaupun harga komoditi global mungkin terdedah kepada volatiliti yang lebih ketara berikutan perkembangan terkini, kesannya terhadap inflasi dalam negeri dijangka terkawal. 

“Inflasi teras pada 2026 dijangka kekal stabil dan hampir dengan purata jangka panjangnya, mencerminkan pengembangan berterusan dalam kegiatan ekonomi serta ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN