KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) sedang memantau perkembangan konflik yang semakin meruncing di Asia Barat, sambil memberi amaran bahawa gangguan bekalan minyak yang berpanjangan dalam tempoh enam bulan akan datang berpotensi menjejaskan prospek ekonomi negara.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ketegangan geopolitik di rantau itu boleh dengan pantas memberi kesan kepada pasaran tenaga global.
Beliau berkata, kenaikan harga minyak dan kos penghantaran boleh meningkatkan kos pengeluaran dan logistik di seluruh dunia, sekali gus mendorong inflasi serta menjejaskan aliran perdagangan.
“Pasaran kewangan mungkin bertindak balas dengan peningkatan penghindaran risiko, sekali gus berpotensi mengetatkan keadaan kredit dan memberi tekanan kepada pertumbuhan ekonomi.
“Kesan negatif terhadap ekonomi global juga boleh diperkukuhkan oleh sentimen yang lemah.
“Namun, kita juga perlu mengakui bahawa sumber tenaga global kini lebih pelbagai dan rizab strategik adalah besar. Ini sepatutnya membantu mengurangkan sebahagian kesan daripada konflik,” katanya pada sidang akhbar Dialog Tahunan BNM di sini, hari ini.
Abdul Rasheed berkata, walaupun sumber tenaga global kini lebih pelbagai dan rizab strategik adalah besar yang boleh membantu mengurangkan kesan, bank pusat itu tetap memantau beberapa senario dengan teliti.
“Senario asas kami mengambil kira konflik yang berlarutan satu hingga dua bulan, senario kemungkinan tiga hingga enam bulan dan senario risiko tahap tinggi melebihi enam bulan.
“Kami juga sedang menilai tahap kerosakan terhadap infrastruktur, yang masih tidak pasti memandangkan ‘kabut perang’,” ujarnya.
Bagi harga minyak, bank pusat menjangkakan senario asas berada dalam lingkungan AS$70 (RM282.80) hingga AS$90 (RM363.60) setong dengan purata setakat ini pada AS$77 (RM311.08) setong.
Senario kemungkinan pula melihat harga antara AS$90 (RM363.60) hingga AS$110 (RM444.40) setong, manakala senario risiko tahap tinggi boleh mendorong harga melebihi AS$110 setong (RM444.40).
Beliau berkata, unjuran pertumbuhan semasa BNM telah mengambil kira senario asas dan sebahagian daripada senario kemungkinan.
“BNM akan menyemak semula unjuran jika keadaan meningkat kepada senario risiko tahap tinggi.
“Unjuran memerlukan kita melihat di sebalik gangguan dan memahami perubahan asas, sekali gus memberi masa untuk mengumpul lebih banyak data,” katanya.
Tambahnya, reformasi fiskal kerajaan, termasuk penyasaran semula subsidi bagi elektrik, air, diesel dan bahan api RON95, telah mewujudkan ruang fiskal untuk mengurus kenaikan kos.
“Langkah ini menyediakan tuas seperti kawalan harga dan pelarasan kuota, yang penting untuk kelestarian dalam keadaan ketidaktentuan.
“Kerajaan telah memberi jaminan bekalan minyak kekal stabil sekurang-kurangnya sehingga Mei, manakala usaha diteruskan untuk mengenal pasti sumber alternatif bagi membantu mengurus kenaikan harga. – UTUSAN










