PENGGUNAAN kecerdasan buatan (AI) dan automasi dalam pekerjaan di Malaysia bukan sebagai ancaman kehilangan pekerjaan, sebaliknya peluang untuk meningkatkan produktiviti dan kemahiran pekerja.
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Azman Mohd Yusof berkata, Al dan automasi bakal mengurangkan permintaan untuk kerja berulang dan rutin seperti operator, kerani atau juruwang tetapi meningkatkan permintaan bagi pekerjaan berkemahiran tinggi berasaskan digital.
Katanya, kerajaan mengambil serius trend ini dan giat mengenal pasti bidang baharu yang akan mewujudkan peluang kerjaya bernilai tinggi selaras dengan aspirasi ekonomi digital negara.
“Teknologi seperti AI dan automasi tidak dapat dielakkan. Ia pasti akan digunakan kerana terbukti dapat mempermudah proses kerja dan meningkatkan kualiti perkhidmatan. Namun, ada kebimbangan bahawa AI dan automasi mungkin menggantikan pekerjaan manusia, menyebabkan sesetengah pekerja hilang kerja.
“Kajian TalentCorp menunjukkan bahawa memang akan ada bidang pekerjaan yang menjadi usang, tetapi ini bukan fenomena baharu.
“Contohnya, pada tahun 60an hingga 90an, pekerjaan seperti jurutaip telah digantikan dengan komputer dan jawatan-jawatan tersebut telah melalui peralihan dengan kompleksiti kemahiran baharu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di Putrajaya di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, TalentCorp selaku agensi dan badan pemikir strategik KESUMA telah menjalankan Kajian Impak Kecerdasan Buatan, Digital & Ekonomi Hijau terhadap tenaga kerja yang memberi gambaran kuantitatif tentang gangguan pasaran kerja akibat perubahan arus perdana.
Menurutnya, hasil kajian mendapati hampir tiga juta pekerja Malaysia akan terkesan oleh peralihan Al, digital dan hijau dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, termasuk sekitar 685,000 pekerja yang dijangka terkesan pada tahap tinggi jika tiada intervensi.
“Data amaran awal ini membolehkan kerajaan merangka langkah proaktif sebelum impak teknologi menjadi kritikal menjelang 2030.
“Justeru, kerajaan telah menubuhkan mekanisme libat urus industri secara berstruktur untuk menilai dan menangani impak automasi atau Al. Majlis MyMahir Future Skills Talent Council (FSTC) yang diterajui TalentCorp menghimpunkan lebih 150 syarikat utama pelbagai sektor sebagai platform input industri dalam pembangunan bakat.
“Majlis ini memastikan majikan menjadi pemacu aktif mengenai keperluan kemahiran terkini dan merangka standard latihan baharu,” ujarnya.
Azman berkata, strategi kementerian adalah memastikan pekerja kekal relevan melalui peningkatan kemahiran dan peningkatan kemahiran semula.
Beliau berkata, antara langkah yang dilakukan termasuk menyediakan program micro-credential jangka pendek, dari beberapa hari hingga jam tertentu, secara dalam talian atau fizikal.
“Peserta akan disertifikasikan setelah menamatkan latihan ini. Program ini dijalankan bersama agensi seperti HRD Corp, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Tenaga Manusia dan TalentCorp.
“Dalam konteks pendidikan teknikal dan vokasional, kementerian menekankan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai platform utama membekalkan tenaga kerja mahir menggunakan teknologi tinggi.
“Contohnya, pertanian kini menggunakan drone, internet kebendaan (IoT) dan telefon pintar untuk memantau ladang, menggantikan kerja fizikal manual.
Azman berkata, pendekatan ini memastikan pekerja tidak hanya relevan tetapi juga mampu menyumbang secara produktif dalam persekitaran kerja yang semakin bergantung kepada teknologi.
Beliau menjelaskan bahawa risiko kehilangan pekerjaan bukan pada sektor tertentu, tetapi jenis pekerjaan konvensional yang gagal menyesuaikan diri dengan teknologi.
“Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) adalah antara yang lebih berisiko kerana kekangan modal untuk membuka cawangan baharu atau melabur dalam automasi.
“Namun, perubahan model perniagaan dan latihan kemahiran pekerja boleh mengurangkan risiko ini,” jelasnya.-UTUSAN










