KUALA LUMPUR: Agrobank menyasarkan lebih 1,000 pendeposit dalam kalangan komuniti autisme menerusi Kempen Jalinan Nurani, selain menawarkan pembukaan akaun tanpa deposit kepada 300 kanak-kanak autisme terawal di seluruh Malaysia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha bank untuk memperluas akses perkhidmatan kewangan kepada golongan neurodiversiti serta memastikan mereka turut mendapat peluang dalam sistem ekonomi negara.
“Selain menggalakkan penyertaan dalam sektor kewangan, Agrobank juga aktif melaksanakan program pembangunan kemahiran khusus untuk komuniti berkenaan.
“Antaranya termasuk projek akuakultur menggunakan sistem bioflok yang diperkenalkan kepada beberapa sekolah pendidikan khas,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Video Raya Korporat bertajuk “Maaf Saya …” di sini, semalam.
Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin.
Selain itu, jelasnya, kanak-kanak yang terlibat juga akan menerima pelan perlindungan kemalangan diri Agro Nurani secara percuma dengan perlindungan sehingga RM11,500.
“Inisiatif ini bertujuan untuk menggalakkan keterangkuman kewangan serta memberi peluang kepada kanak-kanak autisme dan keluarga mereka untuk memulakan perjalanan kewangan yang lebih terancang bersama Agrobank,” katanya.
Dalam pada itu, video raya tahun ini diharap dapat membuka ruang kepada masyarakat untuk lebih memahami realiti yang dilalui oleh keluarga yang mempunyai anak autisme, selain memupuk nilai empati dan penerimaan dalam kehidupan seharian.
Orang ramai boleh menyaksikan karya aidilfitri daripada Agrobank bertajuk “Maaf Saya …”
melalui platform media sosial rasmi Agrobank.
Dalam pada itu, Agrobank telah menyumbangkan kira-kira 20 set sistem bioflok kepada sekolah terpilih bagi membantu pelajar autisme mempelajari kemahiran penternakan ikan secara praktikal.
“Melalui program seperti ini, mereka dapat membina kemahiran dan keyakinan diri untuk berdikari pada masa hadapan,” katanya.
Dalam masa sama, sejak tahun kebelakangan ini, Agrobank turut memberi peluang kepada individu neurodiversiti untuk menghasilkan rekaan bagi barangan korporat bank seperti kalendar dan sampul duit raya.
“Inisiatif tersebut bertujuan mempromosikan bakat serta kemahiran mereka kepada masyarakat,” katanya.
“Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen Agrobank dalam memperkasakan komuniti yang memerlukan sokongan serta memperkukuh keterangkuman dalam pembangunan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN










