11,000 kakitangan TNB siap siaga sepanjang Aidilfitri - Utusan Malaysia

11,000 kakitangan TNB siap siaga sepanjang Aidilfitri

TNB telah membuat persediaan menyeluruh bagi memastikan orang ramai dapat terus menikmati bekalan elektrik yang stabil dan berterusan sepanjang sambutan Aidilfitri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 11,000 anggota kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersiap siaga 24 jam sehari secara giliran bagi memastikan bekalan elektrik yang stabil dan berterusan sepanjang sambutan Aidilfitri tahun ini.

TNB telah menggerakkan pelan kesiapsiagaan operasinya termasuk melaksanakan beberapa projek menaiktaraf sistem rangkaian bekalan elektrik di seluruh negara, dan memantau sistem rangkaian dan aset kritikalnya secara berterusan.

Ketua Pegawai Kanan Rangkaian TNB, Ir. Mahathir Nor Ismail berkata, pasukan teknikal TNB akan memantau rapi keadaan sistem sepanjang musim perayaan dan bersedia mengambil tindakan segera bagi memulihkan bekalan sekiranya berlaku gangguan.

“Komitmen ini penting bagi memastikan rakyat dapat membuat persediaan dan seterusnya menyambut Aidilfitri dengan penuh ceria lagi selesa bersama keluarga tersayang,” katanya dalam kenyataan. 

Menurut beliau, bagi memastikan pelanggan terus menerima bantuan dan sokongan yang diperlukan sepanjang musim perayaan ini, TNB turut menugaskan anggota kerjanya di CareLine untuk bertugas secara giliran 24 jam untuk mengendalikan talian perkhidmatan pelanggan serta platform media sosial seperti Facebook TNB CareLine dan X @Tenaga_Nasional.

“Selain menempatkan 136 janakuasa bergerak di lokasi strategik, TNB juga menyediakan sebanyak 379 kenderaan sokongan termasuk kren auger, tower wagon, skylift dan lori penyelenggaraan sebagai langkah kontingensi jika berlaku gangguan bekalan elektrik.

“Sebagai langkah mitigasi tambahan, TNB turut melaksanakan tindakan mengimbangi beban, meningkatkan kapasiti transformer serta menambah baik rangkaian bagi memastikan sistem pengagihan elektrik kekal stabil sepanjang musim perayaan,” katanya. 

Dalam pada itu, Mahathir menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan keselamatan elektrik serta mengamalkan penggunaan tenaga secara cekap.

“Antara langkah keselamatan elektrik yang boleh diamalkan adalah memastikan semua peralatan elektrik berada dalam keadaan baik sebelum digunakan, memastikan soket, palam, pendawaian elektrik dan peranti arus baki (PAB) berfungsi

dengan baik, tidak memasang terlalu banyak peralatan elektrik pada satu soket, tidak menggunakan telefon semasa mengecas dan jangan biar peralatan elektrik beroperasi tanpa pengawasan.

“Selain itu, pelanggan perlu mendapatkan khidmat kontraktor berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk kerja pendawaian atau pembaikan elektrik, mematikan suis utama dan cabut palam peralatan elektrik yang tidak digunakan sebelum pulang ke kampung,” katanya. 

Beliau turut menggalakkan penggunaan tenaga secara lebih cekap dengan menyarankan pengguna agar memaksimumkan penggunaan cahaya semula jadi pada waktu siang, merancang aktiviti memasak secara cekap seperti membakar kuih raya dalam satu masa dan tidak menggunakan banyak peralatan elektrik berkuasa tinggi secara serentak.

Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, sila hubungi TNB melalui saluran media sosial Facebook, TNB CareLine; X: @Tenaga_Nasional; e-mel, [email protected] atau talian TNB CareLine: 1-300-88-5454. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN