PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Bhd. mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM557.24 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, susut 2.4 peratus berbanding RM571.08 juta pada tahun sebelumnya.
Penurunan itu disebabkan overhed lebih tinggi susulan usaha Kumpulan untuk terus melabur secara strategik dalam modal insan dan teknologi bagi menambah baik pengalaman pelanggan, serta peruntukan kemerosotan lebih tinggi seiring pertumbuhan pembiayaan.
Hasil bagi tahun kewangan 2025 bagaimanapun meningkat kepada RM5.09 bilion daripada RM4.70 bilion tahun sebelumnya.
Bank itu turut mengisytiharkan dividen interim tunai kedua bernilai 4.45 sen sesaham, membawa kepada jumlah dividen tahunan 14.45 sen sesaham yang akan dibayar pada 3 April ini.
Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025, keuntungan bersih meningkat kepada RM175.05 juta daripada RM172.64 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, manakala perolehan bertambah kepada RM1.30 bilion berbanding RM1.24 bilion sebelum ini.
Pegawai Bertanggungjawab Bank Islam, Mizan Masram berkata, dengan berakhirnya LEAP25, Kumpulan akan terus melangkah maju dengan disiplin dan tujuan yang jelas.
“Prestasi kewangan kami mencerminkan keberkesanan pelaksanaan teras strategi Bank Islam yang merangkumi Kemakmuran Mampan, Keutamaan Pelanggan, Budaya Berasaskan Nilai, Pemerkasaan Komuniti dan Pendigitalan untuk Ekonomi Sebenar.
“Pencapaian yang melebihi sebahagian besar sasaran strategik dalaman menunjukkan kekuatan, ketahanan dan kemampuan organisasi ini untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran ekonomi yang sentiasa berubah.
“Kami akan terus memperluaskan akses kewangan, memacu pembangunan industri kewangan digital patuh syariah dan menawarkan penyelesaian inovatif yang memenuhi kepelbagaian keperluan pelanggan,” katanya dalam kenyataan.
Jumlah pembiayaan kasar kumpulan mencatatkan kenaikan 6.4 peratus tahun ke tahun, ditutup pada RM74.7 bilion disokong oleh pertumbuhan sihat dalam perbankan runcit dan perbankan institusi kumpulan, masing-masing berkembang sebanyak 4.8 dan 12.1 peratus.
Pertumbuhan pendapatan berasaskan dana bersih menyederhana RM2.1 bilion, mencerminkan impak semakan kadar polisi dasar semalaman.
Menutup tahun 2025, Bank Islam terus mempamerkan kualiti aset yang teguh dengan nisbah pembiayaan terjejas kasar 0.97 peratus iaitu prestasi yang jelas lebih baik berbanding purata industri 1.37 peratus. – UTUSAN










