PETALING JAYA: Alliance Bank Malaysia Berhad (ABMB) mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah suku tahunannya sebanyak RM215.22 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2025.
Pencapaian itu mewakili peningkatan 15.3 peratus berbanding RM186.67 juta bagi tempoh sama tahun sebelum, didorong oleh pendapatan yang lebih tinggi meskipun berdepan kenaikan perbelanjaan operasi dan peruntukan kerugian kredit.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2025, keuntungan bersih bank meningkat 12.2 peratus kepada RM620.48 juta berbanding RM553.23 juta setahun lalu, manakala hasil meningkat 9.8 peratus kepada RM1.87 bilion.
Peningkatan itu dipacu oleh lonjakan 45.3 peratus dalam pendapatan bukan faedah kepada RM372.30 miliaon, disokong oleh yuran pengurusan kekayaan yang lebih tinggi, jualan pertukaran asing yang kukuh serta pendapatan pelaburan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kellee Kam berkata, prestasi bagi tempoh sembilan bulan tersebut mencerminkan pelaksanaan disiplin strategi ‘Acceler8 2027’ bank, terutamanya dalam pengembangan segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Walaupun ketidaktentuan global berterusan, prospek positif Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menyediakan persekitaran yang menyokong untuk kami kekal fokus pada inovasi dan memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berkembang,” katanya dalam kenyataan.
Setakat 31 Disember 2025, jumlah pinjaman kasar bank berkembang 7.9 peratus tahun ke tahun kepada RM65.8 bilion, diterajui oleh pertumbuhan pinjaman komersial (15.1 peratus), gadai janji pengguna (10.5 peratus) dan pinjaman PKS (6.8 peratus).
Deposit pelanggan turut mencatatkan pertumbuhan sebanyak 10.4 peratus kepada RM68.1 bilion bagi tempoh yang ditinjau.
Dari segi kualiti aset, nisbah pinjaman terjejas kasar bertambah baik kepada 1.89 peratus berbanding 1.97 peratus tahun lalu, manakala nisbah kos kepada pendapatan berada pada tahap 46.7 peratus.
Margin faedah bersih bagaimanapun menyusut 10 mata asas kepada 2.36 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Walau bagaimanapun, kos kredit bersih kekal stabil pada 30.7 mata asas dengan perlindungan kerugian pinjaman meningkat kepada 118.4 peratus. – UTUSAN










