PETALING JAYA: Pembukaan beberapa perkhidmatan udara terus dan bermusim baharu dari China serta Hong Kong ke pintu masuk utama negara dijangka merancakkan lagi sektor pelancongan dan pengangkutan udara Malaysia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Malaysia Airports berkata, perkembangan terbaharu ini menyerlahkan kepelbagaian laluan kemasukan pelancong antarabangsa ke Malaysia, selari dengan aspirasi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk meletakkan Malaysia sebagai antara negara paling terhubung di rantau Asia Pasifik.
“Pada Januari lalu, Spring Airlines melancarkan laluan Shanghai–Pulau Pinang, diikuti penerbangan Guangzhou–Pulau Pinang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN).
“Dengan penambahan ini, Spring Airlines menjadi syarikat penerbangan kelapan berpangkalan di China yang beroperasi ke Pulau Pinang, sekali gus mengukuhkan kedudukan lapangan terbang itu sebagai pintu masuk utama pelancong dari selatan dan timur China,” katanya dalam kenyataan.
Dalam tempoh sama, syarikat penerbangan itu turut menyambung semula perkhidmatan bermusim Shanghai–Kota Kinabalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
“Langkah ini memulihkan akses terus antara bandar berkenaan dengan Malaysia Timur, menjelang peningkatan permintaan perjalanan sempena TMM2026,” katanya.
Sementara itu, Juneyao Airlines memulakan perkhidmatan berjadual Shanghai–Tawau ke Lapangan Terbang Tawau (TWU), memperluaskan lagi rangkaian kesalinghubungan antara China dan Malaysia Timur.
“Shandong Airlines pula melancarkan laluan Jinan–Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), menambah satu lagi bandar dari China dalam rangkaian antarabangsa Malaysia,” katanya.
Di KLIA, China Eastern Airlines mengendalikan beberapa penerbangan sewa khas bermusim dari Hefei sempena tempoh perjalanan minggu emas di China.
“Penerbangan ini menandakan hubungan udara terus pertama antara Hefei dan Malaysia, selain mencerminkan peningkatan minat dari bandar-bandar kedua dan ketiga di China terhadap destinasi Malaysia.
“Aktiviti penerbangan sewa khas turut diperluas di lapangan terbang lain. Greater Bay Airlines mengendalikan perkhidmatan sewa khas Hong Kong–Tawau, manakala Batik Air Malaysia mengoperasikan penerbangan sewa khas Kuala Lumpur–Harbin, menggambarkan kepelbagaian aliran perjalanan bermusim antara Malaysia dan Asia Timur Laut.
“Secara keseluruhan, pertambahan laluan terus dan bermusim ini mencerminkan peningkatan permintaan perjalanan dari China dan Hong Kong, selain keyakinan syarikat penerbangan terhadap potensi pasaran Malaysia,” katanya.
Selain itu, kepelbagaian pintu masuk juga membolehkan pelancong tiba lebih hampir dengan destinasi akhir mereka, sekali gus menyokong pengagihan pelawat yang lebih seimbang di seluruh negara.
Malaysia Airports menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh kesalinghubungan rangkaian lapangan terbangnya, di samping meningkatkan standard perkhidmatan dan kesiapsiagaan operasi.
Seiring pelaksanaan TMM2026, peluasan hubungan udara ke Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuala Lumpur dan Tawau dijangka memperluas pilihan perjalanan serta memperkukuh daya saing sektor pelancongan dan ekonomi negara. – UTUSAN










