‘Tiada paksaan dalam tawaran IJM’ - Jeffrey Cheah - Utusan Malaysia

‘Tiada paksaan dalam tawaran IJM’ – Jeffrey Cheah

JEFFREY Cheah ketika ditemui pemberita selepas sesi sidang media majlis pelancaran prospektus Sunway Healthcare di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sunway Group menafikan dakwaan wujudnya unsur paksaan atau tindakan ‘membuli’ dalam tawaran pengambilalihan IJM Corporation Berhad (IJM), sebaliknya menegaskan langkah tersebut dibuat berdasarkan pertimbangan komersial yang telus.

Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah berkata, langkah syarikat itu membuat tawaran terhadap IJM adalah berdasarkan pertimbangan komersial semata-mata dan dilakukan mengikut peraturan pasaran saham yang ketat.

Katanya, tiada sebarang unsur paksaan atau ‘buli’ dalam proses tersebut, memandangkan IJM merupakan syarikat awam tersenarai yang tertakluk kepada prinsip “pembeli sedia, penjual sedia”.

“Pasaran saham adalah tempat yang bebas untuk menawarkan beli atau jual. Kami dapati IJM berada dalam keadaan yang menarik dan masanya juga sesuai, maka kami buat tawaran mengikut peraturan Suruhanjaya Sekuriti.

“Tiada perolehan paksaan seperti yang digembar-gemburkan di luar sana. Pemegang saham IJM mempunyai pilihan sehingga tarikh tutup pada 6 April depan untuk menerima atau menolak. Jika mereka tidak mahu jual, kami akan berundur. Tiada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas majlis pelancaran prospektus Sunway Healthcare di Pasaran Utama Bursa Malaysia di sini, semalam. 

SHH menyasarkan untuk mengumpul RM833.3 juta menerusi penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia yang dijadualkan pada 18 Mac 2026. 

Tawaran Awam Permulaan (IPO) itu melibatkan penerbitan 1.97 bilion saham biasa, merangkumi tawaran jualan sehingga 1.39 bilion saham sedia ada serta terbitan awam sebanyak 575 juta saham baharu pada harga terbitan RM1.45 sesaham.

Daripada jumlah hasil IPO itu, sebanyak RM554.1 juta akan digunakan sebagai perbelanjaan modal bagi pengembangan hospital sedia ada, manakala RM249.7 juta bagi penebusan sukuk wakalah. 

Selain itu, RM30 juta akan digunakan bagi menampung anggaran kos penyenaraian.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai sektor pendidikan, Jeffrey berkata, beliau tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menyenaraikan Kumpulan Pendidikan Sunway di bursa saham meskipun pernah ditawarkan penilaian pasaran mencecah RM4 bilion oleh sebuah bank pelaburan.

Katanya, keputusan untuk meletakkan institusi pendidikan di bawah Yayasan Jeffrey Cheah adalah bagi memastikan manfaatnya dipulangkan semula kepada masyarakat secara berimpak.

“Pendidikan Sunway bukan untuk poket saya atau keluarga saya. Jika ia bertujuan mengaut keuntungan, ramai profesor dan penyelidik hebat kami tidak akan berada di sini kerana mereka juga mahu berkhidmat kepada masyarakat.

“Kami mahu membina institusi daripada peringkat tadika sehingga ke peringkat doktor falsafah (PhD) yang berkualiti tinggi sehingga diiktiraf oleh universiti dunia seperti Harvard, Cambridge, Oxford dan MIT,” katanya. 

Beliau menyasarkan Universiti Sunway akan tersenarai dalam kelompok 200 universiti terbaik dunia menjelang tahun 2030, selaras dengan aspirasi beliau untuk menjadikan institusi itu sebagai ‘Harvard Timur’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN