Sunway Healthcare sasar raih RM833.3j di Pasaran Utama - Utusan Malaysia

Sunway Healthcare sasar raih RM833.3j di Pasaran Utama

JEFFREY Cheah ketika ditemui pemberita selepas sesi sidang media majlis pelancaran prospektus Sunway Healthcare di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sunway Healthcare Holdings Berhad (SHH) menyasarkan untuk mengumpul RM833.3 juta menerusi penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia yang dijadualkan pada 18 Mac 2026. 

Tawaran Awam Permulaan (IPO) itu melibatkan penerbitan 1.97 bilion saham biasa, merangkumi tawaran jualan sehingga 1.39 bilion saham sedia ada serta terbitan awam sebanyak 575 juta saham baharu pada harga terbitan RM1.45 sesaham.

Daripada jumlah hasil IPO itu, sebanyak RM554.1 juta akan digunakan sebagai perbelanjaan modal bagi pengembangan hospital sedia ada, manakala RM249.7 juta bagi penebusan sukuk wakalah. 

Selain itu, RM30 juta akan digunakan bagi menampung anggaran kos penyenaraian.

Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah berkata, penambahan SHH dijangka meningkatkan permodalan pasaran Sunway Group kepada lebih RM70 bilion.

Beliau berkata, ketika ini, gabungan permodalan pasaran tiga entiti tersenarai awam kumpulan iaitu Sunway Berhad, Sunway Construction Group Berhad dan Sunway Real Estate Investment Trust melebihi RM58 bilion.

“(Pertumbuhan) ini bergantung kepada keadaan pasaran semasa apabila SHH disenaraikan, namun sokongan kukuh daripada pelabur institusi antarabangsa dan domestik, yang kebanyakannya menyertai sebagai pelabur asas, mencerminkan kepercayaan terhadap jenama Sunway.

Saya yakin SHH akan menjadi antara penyedia penjagaan kesihatan bersepadu terkemuka di rantau ini,” katanya semasa majlis pelancaran prospektus Sunway Healthcare di Pasaran Utama Bursa Malaysia di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden Kumpulan SHH, Datuk Lau Beng Long berkata, kumpulan akan memberi tumpuan kepada pengembangan brownfield dari 2026 hingga 2028 dengan meningkatkan kapasiti katil serta mengoptimumkan penggunaan lima hospital sedia ada.

“Kami mempunyai tiga hospital baharu dalam perancangan iaitu hospital tertiari di Seremban, Negeri Sembilan, satu di Iskandar Puteri, Johor dan satu di Putrajaya melalui usaha sama dengan Putrajaya Holdings Sdn Bhd.

“Kedua-dua pengembangan brownfield dan greenfield dijangka hampir menggandakan kapasiti kami menjelang 2032, sekali gus menyediakan saluran pertumbuhan kukuh dan jelas dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata, SHH juga akan terus meningkatkan kecemerlangan klinikal di hospital sedia ada dengan memperluas subkepakaran dan perkhidmatan rawatan.

“Kami akan terus mengembangkan pejabat jualan dan rujukan pesakit, rangkaian ejen serta kerjasama strategik di pasaran luar negara,” tambahnya.

Permohonan bagi tawaran runcit IPO dibuka hari ini dan akan ditutup pada pukul 5 petang, 5 Mac 2026.

Maybank Investment Bank dan AmInvestment Bank akan bertindak sebagai penasihat utama bersama, penyelaras global bersama, pengurus buku bersama, penaja jamin pengurusan bersama serta penaja jamin bersama bagi IPO tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN