Sime Darby Property lancar strategi baharu SHIFT32 tempoh tujuh tahun - Utusan Malaysia

Sime Darby Property lancar strategi baharu SHIFT32 tempoh tujuh tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) telah melancarkan strategi baharu dinamakan SHIFT32, yang akan dilaksanakan selama tujuh tahun, lebih panjang berbanding pelan SHIFT25 lima tahun yang baru sahaja diselesaikan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican berkata, SHIFT32 mencerminkan kitaran pembangunan yang lebih panjang dalam industri hartanah serta tempoh yang diperlukan bagi aset berpendapatan berulang untuk matang.

“Kami telah melancarkan strategi baharu kami yang dinamakan SHIFT32 yang mempunyai horizon yang lebih panjang, iaitu tujuh tahun untuk dicapai.

“Butiran lanjut akan dikongsikan kemudian,” katanya pada sesi taklimat media secara maya bagi Prestasi Tahun Kewangan 2025 dan Perancangan Masa Depan Sime Darby Property, hari ini.

Sime Darby Property mencatatkan untung bersih sebanyak RM87.56 juta pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, berbanding RM88.41 juta yang direkodkan pada suku sama tahun sebelumnya.

Syarikat itu melaporkan pertumbuhan hasil kepada RM1.04 bilion bagi suku sama, daripada RM977 juta pada 2024.

Bagi keseluruhan tahun pula, untung bersih kumpulan naik tiga peratus kepada pada RM517.7 juta, manakala hasil pada RM4.18 bilion berbanding RM4.25 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Sime Darby Property telah mengisytiharkan dividen kedua sebanyak 1.70 sen sesaham bagi suku keempat 2025, sekali gus menjadikan jumlah dividen bagi tahun tersebut sebanyak 3.20 sen sesaham, dengan jumlah pembayaran keseluruhan sebanyak RM217.6 juta.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tempoh masa yang lebih panjang itu adalah sesuatu yang unik bagi industri hartanah, di mana kitaran industri lebih panjang dan aset perlu diterjemahkan secara fizikal daripada reka bentuk kepada pembinaan dan penyerahan sebenar.

“Jadi, kami meneliti perniagaan kami dan menetapkan tempoh yang lebih panjang, yang juga sesuai dengan perniagaan berpendapatan berulang kerana perniagaan jenis ini juga memerlukan tempoh lebih lama untuk merealisasikan hasilnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai impak prestasi ringgit kepada operasi syarikat, beliau berkata, kumpulan berdepan tekanan margin berikutan peningkatan kos operasi sepanjang 2025 meskipun pengukuhan ringgit memberi sedikit kelegaan dari sudut kos import bahan mentah.

Beliau berkata, kenaikan kos melibatkan tenaga kerja, peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta pelaksanaan tarif elektrik baharu memerlukan syarikat lebih berhati-hati dalam mengurus perbelanjaan.

“Ketidaktentuan harga input global juga menuntut pengurusan margin keuntungan secara lebih berdisiplin bagi memastikan prestasi kewangan syarikat kekal mampan.

“Pengukuhan ringgit terhadap harga hartanah bukanlah penentu utama kerana kadar pertukaran asing hanya salah satu daripada pelbagai faktor yang mempengaruhi kos keseluruhan.

“Ringgit yang kukuh membantu mengurangkan kos import bahan mentah, namun turun naik harga bahan binaan dan input lain tetap perlu diuruskan dengan teliti sebelum sebarang pelarasan harga dibuat,” katanya.

Mengulas prospek 2026, beliau berkata, Sime Darby Property optimis untuk mengekalkan momentum pertumbuhan.

“Bagaimanapun, kami kekal berwaspada memandangkan persekitaran operasi tahun hadapan dijangka lebih mencabar dan tidak menentu.

“Ketegangan geopolitik di Timur Tengah, tekanan kos pengangkutan serta ketidaktentuan kos import bahan mentah antara faktor utama yang perlu diuruskan secara berhati-hati bagi memastikan kestabilan prestasi syarikat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN