Saham Duopharma Biotech melonjak selepas peroleh LOA RM52.54juta - Utusan Malaysia

Saham Duopharma Biotech melonjak selepas peroleh LOA RM52.54juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Saham Duopharma Biotech Bhd. meningkat pada sesi dagangan awal hari ini selepas anak syarikat milik penuhnya menerima surat setuju terima (LOA) daripada kerajaan bagi membekalkan produk perubatan bernilai RM52.54 juta.

Pada pukul 9.49 pagi, saham syarikat farmaseutikal itu naik tujuh sen kepada RM1.55 dengan sejumlah 1.38 juta saham diniagakan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, anak syarikat milik penuhnya, Duopharma (M) Sdn. Bhd. (DMSB), telah menerima LOA bagi membekalkan suntikan insulin ke fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dengan tempoh kontrak sehingga 5 Februari 2028.

Menurutnya, terma LOA tersebut akan dimuktamadkan melalui pelaksanaan perjanjian rasmi antara kerajaan dan DMSB pada tarikh kemudian. 

Sehingga perjanjian rasmi dimeterai, LOA berkenaan kekal mengikat kedua-dua pihak.

Sementara itu, RHB Investment Bank Bhd. melihat penerimaan LOA itu sebagai perkembangan positif dan menjangkakan prospek Duopharma Biotech terus disokong oleh LOA tambahan daripada KKM bagi pembekalan produk farmaseutikal di bawah kontrak Approved Products Purchase List (APPL).

Menurut nota penyelidikan bank pelaburan itu, keuntungan jangka pendek syarikat berkemungkinan mendapat manfaat daripada normalisasi harga bahan aktif farmaseutikal (API) serta penyusutan dolar Amerika Syarikat (AS).

Sehubungan itu, RHB Investment Bank mengekalkan saranan “beli” dengan harga sasaran RM1.65 sesaham. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN