PETALING JAYA: Ikon sukan global, Cristiano Ronaldo melabur hampir RM30 juta bagi memperoleh pegangan ekuiti 10 peratus dalam HBL Pro2col Software, LLC, anak syarikat milik penuh tidak langsung Herbalife Ltd. yang memegang teknologi Pro2col.
Pelaburan bernilai kira-kira AS$7.5 juta (RM29.37 juta) itu turut merangkumi komitmen Ronaldo untuk menyediakan perkhidmatan serta hak penajaan kepada Pro2col Software.
Ronaldo berkata, pelaburan tersebut merupakan kesinambungan semula jadi hubungan lebih sedekad bersama Herbalife.
“Pelaburan dalam Pro2col bukan sekadar mewakili jenama, tetapi membantu membentuk dan mengembangkan platform yang berpotensi mengubah cara orang ramai mengurus kesihatan dan kesejahteraan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Herbalife merupakan rakan pemakanan global Ronaldo sejak 2013 dan sebelum ini bekerjasama melancarkan minuman sukan Herbalife24 CR7 Drive yang dirumus khusus untuk menyokong prestasi atlet.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Herbalife, Stephan Gratziani berkata, Pro2col merupakan sistem operasi kesihatan dan kesejahteraan digital generasi baharu yang direka untuk menyediakan pelan kesihatan diperibadikan berasaskan data, bagi menggalakkan perubahan gaya hidup secara mampan dan boleh diukur.
“Keputusan Ronaldo untuk mengambil pegangan pemilikan dalam Pro2col menandakan satu pencapaian penting dalam hubungan jangka panjang kami.
“Pelaburan ini mencerminkan keyakinan bersama terhadap kuasa pemakanan, data, kecerdasan buatan (AI) dan pandangan diperibadikan dalam meningkatkan hasil kesihatan,” katanya.
Platform Pro2col menggunakan data unik individu untuk membina pelan kesejahteraan tersuai, lengkap dengan pemantauan tabiat harian serta penjejakan pemakanan pintar.
Di terasnya ialah Pro2Score, sistem pemarkahan kesejahteraan proprietari yang menilai kemajuan merentasi metrik kesihatan utama bagi menyediakan panduan jelas dan tindakan susulan kepada pengguna.
Selain itu, platform berkenaan turut menyediakan alat dan analitik kepada pengedar Herbalife bagi meningkatkan penglibatan pelanggan serta memperluas akses kepada pemakanan dan kesejahteraan diperibadikan secara lebih berskala.
Pelancaran Pro2col dilaksanakan secara berperingkat melalui fasa beta strategik di Amerika Syarikat, Kanada dan Puerto Rico, dengan perancangan memperluas akses ke beberapa pasaran terpilih di Eropah, Timur Tengah dan Afrika (EMEA) bermula 2026.
Inisiatif itu selari dengan strategi jangka panjang syarikat untuk menjadi platform kesihatan dan kesejahteraan global yang lebih bersepadu, dipacu data dan teknologi digital. – UTUSAN










