PETALING JAYA: Mata wang negara mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi pembukaan dagangan pada Isnin, didorong oleh momentum positif berikutan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2025 sebanyak 6.3 peratus yang lebih baik daripada jangkaan Jumaat lalu, kata penganalisis.
Pada 8 pagi, ringgit dibuka tinggi kepada 3.8970/9190 berbanding dolar AS daripada 3.9060/9155 semasa ditutup pada Jumaat lalu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, unjuran rasmi KDNK terkini bagi 2026 antara 4.0 peratus dan 4.5 peratus dijangka disemak semula kepada paras lebih tinggi dengan mengambil kira daya tahan ekonomi negara dalam ketidaktentuan luaran.
“Justeru, pihak BNM dijangka akan mengekalkan Kadar Dasar Semalamam (OPR) di paras 2.75 peratus pada tahun ini disebabkan tiada keperluan untuk mengurangkannya memandangkan trajektori pertumbuhan ekonomi yang dijangka terus berada dalam keadaan yang baik.
“Oleh itu, paras RM3.90 dilihat sebagai paras psikologi yang cuba dilepasi,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd.Afzanizam berkata, jurang kadar faedah antara kadar dana Rizab Persekutuan (Fed) AS dan OPR akan menjadi kecil berikutan Fed dijangka melonggarkan pendekatan dasar monetarinya pada tahun ini.
Katanya, ringgit dilihat terus mengukuh berbanding dolar AS.
“Perkara ini sejajar dengan data-data ekonomi Malaysia yang memperlihatkan pengukuhan pertumbuhan meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran luaran,” katanya.
Jumaat lalu, data KDNK menunjukkan pertumbuhan ekonomi kekal sihat diparas 6.3 peratus pada suku ke empat 2025, melebihi anggaran awal iaitu 5.7 peratus.
Pertumbuhan KDNK bagi keseluruhan tahun 2025 pula mencecah 5.2 peratus dan melebihi unjuran kerajaan iaitu 4.0 peratus hingga 4.8 peratus. – UTUSAN










