PETALING JAYA: AEON Bank (M) Berhad mengumumkan Datin Raja Teh Maimunah akan melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), berkuat kuasa 31 Mac ini.
AEON Bank berkata, Raja Teh menyertai AEON Bank sejak tiga tahun lalu dan beliau telah menerajui bank tersebut semasa fasa yang paling kritikal iaitu di awal penubuhannya sebagai bank digital.
Di bawah teraju kepimpinan beliau, AEON Bank berjaya dilancarkan dengan keterampilan sebagai bank digital Islamik pertama di Malaysia, dengan pembinaan dan pengukuhan infrastruktur natif awan (cloud native) serta kelulusan kawal sedia untuk pelancaran pada skala penuh.
Pengerusi dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif AEON Bank, Tomokatsu Yoshitoshi berkata, pihak lembaga pengarah menzahirkan ribuan terima kasih kepada Raja Teh Maimunah atas kepimpinan beliau yang berwawasan.
“Komitmen beliau dalam memperkasakan sebuah institusi perbankan digital dari fasa konsep awal hingga pelancaran aplikasi berfungsian penuh di ekosistem digital merupakan usaha yang amat memberangsangkan.
“Raja Teh Maimunah telah memimpin pasukan dinamik yang berjaya membina asas yang kukuh dalam membangunkan AEON Bank dan meneruskan misi keterangkuman kewangan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Raja Teh Maimunah berkata, tanggungjawab untuk menerajui AEON Bank merupakan suatu penghormatan yang amat bermakna dan pengalaman istimewa yang datang hanya sekali seumur hidup.
“Bersama-sama dengan pasukan AEON Bank, kita telah berjaya melancarkan bank digital patuh syariah pertama di Malaysia.
“Saya amat berbangga dengan keupayaan infrastruktur yang dibangunkan oleh pasukan yang amat berdedikasi. Saya yakin bahawa AEON Bank akan terus maju dan bekembang dengan cemerlang,” jelasnya.
Lembaga pengarah AEON Bank telah menggerakkan pelan kesinambungan kepimpinan demi memastikan transisi peralihan yang lancar dan perkembangan terkini bakal diumumkan selaras dengan kelulusan kawal selia secara rasmi. – UTUSAN










