Progressture Solar dilantik kontraktor projek solar Hibiscus di Brunei - Utusan Malaysia

Progressture Solar dilantik kontraktor projek solar Hibiscus di Brunei

CHONG Chee Seong (tiga dari kiri) bersama barisan pengurusan tertinggi syarikat dan Helios Hibiscus selepas pelantikan bagi EPCC dan O&M.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Progressture Power (B) Sdn Bhd menerusi unit tenaganya, Progressture Solar, dilantik sebagai kontraktor Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) bagi projek solar berskala utiliti berkapasiti 12 megawatt puncak (MWp) milik Hibiscus Petroleum Berhad di Brunei.

Syarikat itu turut diberi tanggungjawab mengendalikan operasi dan penyelenggaraan (O&M) loji berkenaan bagi memastikan prestasi sistem serta kebolehpercayaan aset tenaga boleh baharu itu sepanjang tempoh operasinya.

Pelantikan itu merangkumi tanggungjawab menyeluruh daripada fasa reka bentuk dan pembinaan loji solar sehingga operasi serta penyelenggaraan jangka panjang kemudahan berkenaan. 

Loji tersebut akan membekalkan tenaga elektrik bersih kepada kilang pemprosesan darat Hibiscus di Brunei, sekali gus menyokong integrasi sumber tenaga rendah karbon bagi operasi industri berintensiti tenaga tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Progressture Solar, Cliff Siaw Sze Hau berkata, pihaknya komited memastikan pelaksanaan projek dilakukan secara berdisiplin dengan penekanan kepada kualiti dan kebolehpercayaan operasi.

“Kami berbesar hati diberi kepercayaan untuk melaksanakan serta mengendalikan operasi jangka panjang projek ini. Tumpuan kami adalah kepada pelaksanaan berkualiti dan prestasi konsisten supaya loji beroperasi pada standard tertinggi sepanjang hayat operasinya.

“Projek ini adalah langkah penting dalam menyokong peluasan penggunaan solar berskala utiliti di Malaysia, Brunei dan rantau ini,” katanya.

Majlis pecah tanah projek telah diadakan di tapak projek dalam kawasan Sungai Liang Industrial Park (SPARK), Mukim Liang, Kuala Belait, sebagai penanda aras penting kemajuan pelaksanaan. 

Majlis itu menghimpunkan wakil agensi kerajaan, pihak berkepentingan projek, rakan strategik dan pemain industri, mencerminkan kerjasama berterusan dalam memperkukuh agenda kepelbagaian tenaga serta kelestarian di Brunei.

Di bawah skop EPCC dan O&M, Progressture Solar turut memikul peranan operasi jangka panjang bagi memastikan prestasi sistem, kebolehpercayaan dan jangka hayat aset berada pada tahap optimum sepanjang tempoh penggunaan. 

Pendekatan kitar hayat penuh itu sejajar dengan keperluan projek industri yang kompleks serta berintensiti tenaga.

Projek berkenaan juga menjadi projek solar utiliti berskala besar antarabangsa pertama Progressture Solar dan menandakan pencapaian penting dalam peluasan serantau syarikat di luar Malaysia. 

Syarikat itu melihat pembangunan berkenaan sebagai asas kehadiran jangka panjang di Brunei dengan potensi kerjasama serta pembangunan tenaga boleh baharu lain pada masa depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN