Petronas untung RM45.4 bilion pada tahun kewangan 2025 - Utusan Malaysia

Petronas untung RM45.4 bilion pada tahun kewangan 2025

TENGKU Muhammad Taufik (tengah), bersama Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Petronas, Liza Mustapha (kiri), Ketua Pegawai Operasi Petronas, Mohd Jukris Abdul Wahab (dua kiri), Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas dan Maritim Petronas, Datuk Adif Zulkifli (empat kiri) dan, Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Hiliran Petronas, Datuk Sazali Hamzah pada sidang akhbar Majlis Pengumuman Keputusan Kewangan Kumpulan Petronas 2025 di Menara Berkembar Petronas (KLCC) di sini, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) bernilai RM45.4 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, susut 18 peratus berbanding RM55.1 bilion yang direkodkan pada 2024.

Bagi tempoh tersebut, Petronas melaporkan pendapatan berjumlah RM266.1 bilion, turun 17 peratus berbanding RM320 bilion tahun sebelumnya.

Ini terutamanya disebabkan oleh harga purata terealisasi yang lebih rendah, jumlah jualan yang menurun, kesan pertukaran asing, serta penjualan Engen Group.

Kumpulan turut mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih rendah pada RM103 bilion, menurun 10 peratus selaras dengan keuntungan yang menurun.

Aliran tunai daripada aktiviti operasi (CFFO) berjumlah RM85.2 bilion, sejajar dengan penurunan EBITDA.

Syarikat minyak dan gas nasional itu akan menyalurkan pembayaran dividen sebanyak RM20 bilion kepada kerajaan, selaras dengan jumlah yang diumumkan dalam bajet baru-baru ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, prestasi Petronas tahun lalu sebagai berdaya tahan, dan ia dicapai dengan latar belakang ketidaktentuan berpanjangan dalam persekitaran operasi mencabar.

Jelasnya, harga minyak mentah Brent susut 14 peratus daripada AS$81 (RM314.95) per tong kepada AS$69 (RM268.29) tahun lalu, manakala ringgit turut mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

“Dalam tahun yang dilanda ketidakpastian pasaran dan kos yang tinggi, Petronas memberi tumpuan kepada memperkukuh daya tahan portfolio kami melalui perkongsian strategik, penggredan portfolio yang tinggi dan usaha-usaha lain yang meningkatkan nilai,” katanya ketika sidang akhbar pengumuman keputusan kewangan Petronas 2025, di sini hari ini.

Menurutnya, Petronas juga merancang peruntukan perbelanjaan modal (CAPEX) antara RM25 bilion hingga RM50 bilion secara purata bagi tempoh lima tahun akan datang, bergantung kepada fasa projek yang dilaksanakan.

Jelas beliau, pelaburan besar itu kritikal bagi memastikan kelangsungan bekalan tenaga yang selamat dan dipercayai, memandangkan Petronas merupakan rakan strategik utama kepada ekonomi besar seperti Jepun, India dan China.

“Dunia masih memerlukan kira-kira 104 juta tong (minyak) sehari dan kita tidak nampak apa-apa yang dapat menggantikan segmen besar itu melainkan terdapat penggunaan nuklear secara besar-besaran.

“Kami bertanggungjawab membekalkan tenaga kepada 34 juta rakyat Malaysia dan 700 juta penduduk di rantau ini. Visibility (kejelasan) bekalan ini hanya akan wujud jika perbelanjaan (pelaburan) dilakukan sekarang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN