Petronas Dagangan catat untung bersih RM258 juta pada suku keempat

Petronas Dagangan catat untung bersih RM258 juta pada suku keempat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Dagangan Berhad (PDB) mencatatkan untung bersih sebanyak RM258 juta pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, lebih tinggi berbanding RM249 juta yang dilaporkan pada suku sama tahun sebelumnya.

Dalam makluman di Bursa Malaysia, PDB mencatatkan pendapatan sebanyak RM10.6 bilion, peningkatan sebanyak 18 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Peningkatan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan lapan peratus dalam jumlah jualan hasil daripada jualan Jet A1 yang lebih tinggi dan pertumbuhan gasolin motor (Mogas) yang berterusan susulan program BUDI95.

Bagi keseluruhan tahun kewangan, PDB merekodkan untung bersih sebanyak RM1.09 bilion berbanding RM1.08 bilion bagi suku sama tahun sebelumnya, manakala hasil sebanyak RM38.3 bilion daripada RM37.9 bilion.

Prestasi kukuh tersebut menggariskan keupayaan syarikat untuk menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran yang berubah-ubah, memberikan pertumbuhan yang mampan dan memenuhi keperluan pelanggan.

PDB mengisytiharkan dividen interim sebanyak 26 sen sesaham biasa dan dividen khas sebanyak 20 sen sesaham biasa bagi suku keempat, manakala syarikat mengisytiharkan dividen sebanyak 112 sen sesaham biasa, yang mewakili nisbah pembayaran 100 peratus bagi tahun kewangan 2025.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani berkata, tahun Kewangan 2025 merupakan tahun penentuan bagi PDB dan syarikat gembira kerana telah memainkan peranan penting dalam menyokong program BUDI95 kerajaan.

Katanya, melalui aplikasi Setel, syarikat memastikan pengesahan MyKad yang mudah untuk kelayakan BUDI95, membolehkan akses yang selamat dan mudah untuk rakyat Malaysia selaras dengan inisiatif kebangsaan.

“Menjelang 2026, pasukan kami dipenuhi dengan tenaga dan optimis, membina tahun yang luar biasa.

“Kami teruja untuk meluaskan portfolio kami dengan penambahan baharu seperti kenderaan elektrik dua roda Blueshark, bersama-sama dengan restoran khidmat segera francais pertama kami yang menampilkan jenama Afrika Selatan yang terkenal iaitu Steers dan Debonairs, lonjakan terbaru kami dalam sektor bukan bahan api,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, 2026 penting dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 memacu aktiviti pelancongan seluruh negara, pelaburan infrastruktur yang berterusan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dan tumpuan kukuh kerajaan terhadap kemampanan dan peralihan tenaga.

“Kami melihat peluang yang bermakna untuk menyokong keutamaan negara sambil mewujudkan nilai untuk pelanggan dan rakan kongsi kami.

“PDB berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada permintaan perjalanan yang lebih tinggi, peningkatan ketersambungan jalan raya dan peralihan beransur-ansur ke arah penyelesaian mobiliti yang lebih bersih,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN