KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) akan menyalurkan pembayaran dividen sebanyak RM20 bilion kepada kerajaan, selaras dengan jumlah yang diumumkan dalam bajet baru-baru ini.
Pada 2025, syarikat minyak dan gas nasional itu membayar dividen berjumlah RM32 bilion kepada kerajaan sebagaimana komitmen yang dinyatakan mereka sebelum ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, jumlah tersebut telah mendapat kelulusan Lembaga Pengarah syarikat dan ia dikira berdasarkan kemampuan kewangan semasa kumpulan.
Beliau berkata, pengurusan dividen merupakan cabaran berterusan bagi mana-mana syarikat, terutamanya dalam mengimbangi tuntutan pemegang saham dengan keperluan pelaburan masa hadapan syarikat.
“Jawapan bagi dividen pada masa hadapan akan sentiasa tertakluk kepada kemampuan kami. Kita perlu contend (berhadapan) dengan hakikat bahawa peralihan tenaga kini berkembang menjadi ‘penambahan tenaga’.
“Memandangkan sistem baharu belum dapat menggantikan minyak dan gas sepenuhnya dalam masa terdekat, kami perlu memperuntukkan dana yang mencukupi bagi memastikan ‘corong’ pertumbuhan masa depan terus segar,” katanya ketika sidang akhbar pengumuman keputusan kewangan Petronas 2025, di sini hari ini.
Sementara itu, Petronas juga telah menyumbang hampir RM1.6 trilion kepada ekonomi negara dalam bentuk dividen, royalti, cukai, bayaran tunai dan sumbangan kepada tabung amanah negara.
“Ia sekali gus mengekalkan syarikat itu sebagai penyumbang tunggal terbesar.
“Sebagai pengawal selia sektor, syarikat membangunkan ekosistem huluan yang dinamik melalui Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) yang adil dan menarik serta pelbagai inisiatif lain.
“Ia termasuk program pembangunan vendor dan pembiayaan vendor yang telah memudahkan akses pembiayaan berjumlah lebih RM2 bilion,” ujarnya.
Beliau berkata, dalam bidang pendidikan dan tanggungjawab sosial, pelaburan sebanyak RM4.2 bilion telah dibuat menerusi Program Penajaan Pendidikan Petronas yang memanfaatkan lebih 40,000 rakyat Malaysia.
“Sepanjang tempoh 2020 hingga 2025, sumbangan impak sosial berjumlah RM4.5 bilion telah memberi manfaat kepada 16.7 juta rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN










