Perdagangan borong dan runcit catat jualan tahunan tertinggi RM1.87 trilion pada 2025 - Utusan Malaysia

Perdagangan borong dan runcit catat jualan tahunan tertinggi RM1.87 trilion pada 2025

KEBANYAKAN pasar raya dan kedai runcit dipenuhi beras import berbanding tempatan di sekitar Perlis. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdagangan borong dan runcit di Malaysia mencapai paras tertinggi dengan jualan tahunan RM1.87 trilion pada 2025, seiring prestasi kukuh pada Disember dengan jualan RM163.7 bilion, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan jualan bagi bulan Disember didorong terutamanya oleh subsektor perdagangan borong dan perdagangan runcit.

Katanya, perdagangan borong merekodkan jumlah jualan sebanyak RM71.1 bilion, meningkat RM4.6 bilion, bertumbuh tahun ke tahun sebanyak 6.9 peratus.

“Perdagangan runcit pula mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM70.4 bilion, meningkat RM4.6 bilion dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 6.9 peratus.

“Sementara itu, subsektor kenderaan bermotor merekodkan jualan berjumlah RM22.3 bilion, meningkat RM2.4 bilion dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 12.2 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, perdagangan borong terus menunjukkan prestasi yang kukuh pada bulan Disember, disokong oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang berkembang sebanyak 5.5 peratus kepada RM26.1 bilion, terutamanya dipacu oleh petrol, diesel, pelincir, bahan binaan lain, perkakasan, peralatan paip dan alat pemanas & bekalannya.

Selain itu, beliau berkata, kumpulan jualan borong barangan isi rumah merekodkan peningkatan ketara sebanyak 9.2 peratus kepada RM14.7 bilion, disokong oleh barangan farmaseutikal dan perubatan, barangan elektrik dan elektronik dan pewangi, kosmetik, sabun dan kelengkapan dandanan diri.

“Pertumbuhan ini juga disokong oleh jualan borong makanan, minuman dan tembakau yang meningkat 7.1 peratus, didorong oleh produk tenusu, ikan dan lain-lain makanan laut serta sayur-sayuran,” ujarnya.

Mengulas mengenai subsektor perdagangan runcit, Mohd. Uzir Mahidin berkata, segmen ini disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang berkembang sebanyak 9.3 peratus kepada RM27.4 bilion, didorong oleh kedai runcit, pasar raya dan gedung serbaneka dan pasar raya.

“Sementara itu, jualan runcit di kedai pengkhususan meningkat 5.6 peratus kepada RM14.9 bilion pada Disember 2025. Peningkatan keseluruhan dalam aktiviti runcit ini sebahagian besarnya disokong oleh cuti sekolah serta perayaan Krismas dan Tahun Baharu.

“Jualan runcit bahan api kenderaan berkembang 7.4 peratus kepada RM6.4 bilion, mencerminkan aktiviti perjalanan yang lebih tinggi, manakala jualan runcit peralatan komunikasi dan maklumat meningkat 5.9 peratus kepada RM5.4 bilion, disokong oleh permintaan yang lebih tinggi terhadap komputer, peralatan dankelengkapan komputer, peralatan telekomunikasi dan konsol dan perisian permainan video.

“Dalam tempoh yang sama, subsektor kenderaan bermotor dipacu oleh jualan kenderaan bermotor yang mencapai paras rekod tertinggi sebanyak RM12.5 bilion, meningkat 15.7 peratus,” jelasnya.

Tambahnya, ini selari dengan data Persatuan Automotif Malaysia (MAA), yang melaporkan jumlah tertinggi kenderaan terjual sebanyak 90,716, manakala Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan 96,970 pendaftaran kenderaan.

Menurutnya, pembelian pada Disember ini didorong oleh pemberian rebat yang menarik, promosi hujung tahun dan penghabisan stok lama bagi memberi ruang kepada kemasukan model baharu.

“Faktor lain yang menyumbang kepada pertumbuhan subsektor ini termasuk jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor (6.6 peratus), penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (9.7 peratus) serta jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal (10.9 peratus).

“Sementara itu, jualan runcit dalam talian terus mencatatkan pertumbuhan positif pada bulan Disember, dengan indeks jualan meningkat 8.9 peratus tahun ke tahun berbanding 7.3 peratus pada bulan sebelumnya,” katanya.

Tambahnya, aktiviti pembayaran digital terus mencatatkan momentum pertumbuhan pada bulan Disember dengan transaksi e-money meningkat 64.2 peratus tahun ke tahun kepada RM29.4 bilion, mencerminkan peningkatan penggunaan pembayaran tanpa tunai.

Bagi keseluruhan tahun 2025, beliau berkata, perdagangan runcit berkembang sebanyak 6.1 peratus kepada RM811.5 bilion, perdagangan borong bertumbuh sebanyak 5.8 peratus kepada RM827.4 bilion dan subsektor kenderaan bermotor meningkat sebanyak 3.2 peratus kepada RM226.1 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN