KUALA LUMPUR: Pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bukan sekadar simbol pematuhan syariah, sebaliknya menjadi pemangkin penting kepada peluasan pasaran antarabangsa, khususnya bagi jenama penjagaan kulit dan bayi tempatan, Applecrumby.
Applecrumby yang kini memasuki tahun ke-14 operasi membuat keputusan bagi mendapatkan pensijilan halal atas permintaan pasaran global dan bukannya strategi pemasaran semata-mata.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Applecrumby, Sean Tan berkata, keputusan itu tercetus selepas syarikat menerima pertanyaan berulang daripada pelanggan luar negara, khususnya dari Asia Barat.
“Kami sebenarnya sangat berhati-hati kerana tidak mahu sekadar melabelkan produk sebagai halal tanpa pematuhan menyeluruh.
“Pada awalnya, ia bukan sesuatu yang kami rancang. Namun apabila meneliti data, terdapat banyak pertanyaan, bukan sahaja dari pasaran tempatan tetapi majoritinya dari luar negara. Pertanyaan itulah yang membuka pintu kepada sektor negara Asia Barat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas meraih pengiktirafan daripada Parenthood Records sebagai ‘Lampin Pertama di Malaysia dengan Teras Penyerap Bebas Klorin Sepenuhnya yang Dipatenkan’ di Malaysia Brand Day baru-baru ini.
Menurut beliau, walaupun produk penjagaan kulit tidak boleh dimakan, sensitiviti pengguna global terhadap status halal semakin meningkat, khususnya dalam kalangan pengguna Islam di luar Malaysia.
Dalam konteks ekonomi halal global yang semakin berkembang, Sean berkata, Malaysia mempunyai kelebihan tersendiri melalui sistem pensijilan halal yang diiktiraf dunia.
“Pensijilan halal Malaysia dikenali di peringkat antarabangsa dan dianggap antara yang terbaik. Jadi jika kepakaran itu ada di Malaysia, mengapa tidak dimanfaatkan sepenuhnya?” katanya.
Sementara itu, Pengasas Bersama Applecrumby, Jesmine Tan berkata, sepanjang lebih sedekad beroperasi, syarikat tidak melihat keperluan mendesak untuk pensijilan halal bagi pasaran tempatan.
“Secara jujur, kami tidak memikirkan pensijilan halal untuk pasaran Malaysia kerana produk ini bukan untuk dimakan. Namun apabila kami membuka pintu ke pasaran serantau dan antarabangsa, permintaan itu datang dengan ketara.
“Bagi pasaran seperti Asia Barat, pensijilan halal adalah sesuatu yang penting. Memandangkan semua bahan produk kami sememangnya halal dan proses pengeluaran juga dibuat di fasiliti yang diperakui halal, proses pensijilan itu menjadi lebih mudah,” katanya.
Tambahnya, pendekatan itu memberi keyakinan kepada ibu bapa bahawa produk Applecrumby merangkumi lampin, penjagaan kulit dan produk pembersihan bukan sahaja mematuhi keperluan kawal selia, malah melangkaui jangkaan industri dari segi keselamatan dan kelestarian.
“Dengan permintaan global yang terus meningkat, pensijilan halal ini perlu diambil sebagai contoh kepada lebih banyak perusahaan tempatan supaya peluang untuk menembusi rantaian nilai ekonomi halal antarabangsa lebih mudah,” katanya. – UTUSAN










