Penggunaan ringgit-rupee perkukuh perdagangan dua hala - Utusan Malaysia

Penggunaan ringgit-rupee perkukuh perdagangan dua hala

ANWAR (kiri) mengiringi Narendra Modi (tengah) di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya semasa lawatan dua hari beliau ke negara ini, kelmarin. - GAMBAR IHSAN PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggunaan mata wang tempatan dalam urus niaga antara Malaysia dan India adalah langkah strategik yang berpotensi meningkatkan jumlah perdagangan dua hala, sekali gus terlindung pada kesan turun naik mata wang global.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, Malaysia ketika ini menikmati lebihan dagang dengan India, khususnya dalam eksport minyak sawit ke negara yang mempunyai populasi terbesar dunia itu serta merupakan ekonomi kedua terbesar di Asia selepas China.

Katanya, langkah ini berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada dolar Amerika Syarikat (AS), sekali gus melindungi perdagangan daripada kesan turun naik mata wang global.

“Peningkatan perdagangan melalui penggunaan mata wang masing dan bukannya dolar AS bakal merubah hubungan perdagangan dengan lebih erat lagi terutamanya dengan penurunan nilai mata wang rupee berbanding dolar AS dan pada masa yang sama pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar AS.

“Secara praktikalnya kedua negara perlu bersetuju untuk nilai pertukaran mata wang asing yang lebih selamat dan berdaya saing dan tidak terdedah kepada turun naik yang tidak menentu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Reserve Bank of India (RBI) bekerjasama bagi memudahkan penggunaan ringgit dan rupee dalam perdagangan serta pelaburan, susulan lawatan Perdana Menteri India, Narendra Modi ke negara ini.

Usaha tersebut bagi memperkukuhkan lagi kerjasama ekonomi antara Malaysia dengan In­dia yang terjalin sejak 1957.

Aimi Zulhazmi berkata, pendekatan ini juga membolehkan perdagangan tertumpu kepada aktiviti ekonomi sebenar tanpa terlalu bergantung kepada pertukaran mata wang asing.

“Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di kedua-dua negara bakal mendapat manfaat melalui kemudahan transaksi yang lebih mudah serta sokongan institusi perbankan yang lebih mesra perniagaan.

“Ini memberikan dorongan positif kepada perdagangan dua hala dan berpotensi menjadi pemangkin kepada peluasan jenis barangan yang diperdagangkan,” ujarnya.

Selain industri makanan halal, beliau melihat peluang kerjasama baharu dalam sektor teknologi, aeroangkasa dan pembangunan pusat data, memandangkan India mempunyai kelebihan dalam industri bernilai tinggi tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) Pusat, Datuk William Ng berkata, langkah memperkukuh penggunaan mata wang tempatan (ringgit-rupee) adalah langkah strategik yang sangat tepat pada masanya.

Beliau berkata, dengan mengurangkan kebergantungan kepada mata wang AS, kos menjalankan perniagaan antara kedua-dua negara dapat dikurangkan kerana kita dapat mengelakkan risiko turun naik tukaran wang asing semakin tidak menentu.

“Apabila kos transaksi menjadi lebih stabil dan telus, ia secara langsung akan meningkatkan jumlah perdagangan dua hala.

“Bagi PKS, ini bermakna mereka mempunyai perlindungan semula jadi terhadap ketidaktentuan dolar, seterusnya menjadikan produk Malaysia lebih kompetitif di pasaran India yang amat besar dan begitu juga sebaliknya.

“Kalau sebelum ini, dolar sebagai pengantara bermaksud pengekspot and pengimport perlu membeli dan menjual dolar serta membayar fi kepada bank untuk mendapatkan mata wang tempatan. Langkah yang diumumkan ini dapat menjimatkan masa dan kos kepada kedua-dua pihak,” ujarnya.

Namun begitu, William berkata, isu yang mungkin timbul adalah dalam memastikan bank-bank tempatan di kedua-dua negara dapat menyelaraskan sistem mereka agar mesra pengguna bagi transaksi mata wang tempatan ini dan terdapat bekalan rupee dan ringgit yang secukupnya.

“Kerjasama kewangan ini juga dapat bertindak sebagai pemangkin kepada sektor-sektor berimpak tinggi seperti ekonomi digital dan teknologi kewangan (fintech), tenaga boleh baharu (TBB), farmaseutikal dan agrotech.

“India merupakan gergasi dalam sektor teknologi maklumat dan farmaseutikal. Saya rasa kerjasama ini pasti dapat mempercepat dan mengeratkan hubungan perniagaan dalam sektor-sektor tersebut,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN