Norita Abbas penerima Anugerah Khas Seri-Ibu 

Norita Abbas penerima Anugerah Khas Seri-Ibu 

TUANKU Ampuan Pahang, Tunku Aziziah Aminah Maimunah Iskandariah (kiri) berkenan menyampaikan Anugerah Khas Seri-Ibu kepada Norita Abbas (kanan) sempena Piala Seri-Ibu Kraf 2026 di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyampaikan Anugerah Khas Seri-Ibu kepada pereka rekaan songket dari Yayasan Tuanku Nor Zahirah, Norita Abbas yang menampilkan Songket Kilauan Warisan sempena Piala Seri-Ibu Kraf 2026. 

Anugerah Khas Seri-Ibu, dipilih secara peribadi Tengku Ampuan Pahang bagi mengiktiraf individu atas komitmen luar biasa serta sumbangan sepanjang hayat mereka dalam memelihara identiti budaya Malaysia. 

Penerima membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, berserta trofi dan sijil penghargaan.

Selain itu, empat lagi anugerah iaitu kategori Logam iaitu Kelab Kebudayaan Mah Meri, E’et Ka’oi Nadik hok Tohok, kategori Logam, Kaiyi Wong ‘What Holds the Glow’, kategori Tekstil, Wan Nadhiha ‘Kain Tenun Limar Bersongket’ dan kategori Inovasi, Koong Wei Lein ‘Mothur’. 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican berkata, Piala Seri-Ibu Kraf 2026 menandakan sokongan padu institusi diraja terhadap agenda nasional dalam memperkasa industri kraf dan ekonomi kreatif sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, ini dilihat bukan sekadar pengiktirafan seni, sebaliknya satu platform ekonomi strategik yang mengangkat dedikasi, kemahiran dan usaha gigih artisan tempatan. 

“Program ini memberi tumpuan kepada pengusaha kraf yang mewarisi ilmu turun-temurun dan berjaya menyesuaikannya dengan kehendak pasaran moden tanpa menjejaskan nilai tradisi.

“Kepimpinan berwawasan Tuanku Ampuan Pahang dalam memelihara seni dan kraf negara telah membuka ruang kepada inisiatif seperti Piala Seri-Ibu Kraf untuk berkembang sebagai platform peringkat nasional yang menggabungkan elemen warisan, inovasi dan kelestarian. 

“Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan industri kraf, malah mewujudkan peluang ekonomi yang lebih mampan kepada komuniti artisan,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Penyampaian Hadiah Piala Seri-Ibu Kraf, di sini hari ini. 

Minggu Seri-Ibu Kraf CIMB 2026 merupakan platform budaya dan kraf yang dikurasi, meraikan gabungan warisan tradisional Malaysia dengan pertukangan kontemporari. 

Program ini menampilkan pameran vendor daripada produk berkelas tinggi hingga pasaran massa, persembahan kebudayaan, pertunjukan fesyen serta bengkel interaktif yang direka untuk melibatkan pembeli bandar, penggiat kraf, PKS, korporat dan institusi kebudayaan.

Pada tahun ini, pertandingan tahun ini bertujuan memperkasa lebih 500 penggiat kraf, dengan kira-kira 150 penyertaan asli diterima daripada pelajar, penggiat hobi dan pembuat profesional dari seluruh negara.

Menurut Azmir, melalui program ini, ratusan penggiat kraf mendapat akses kepada pasaran yang lebih adil dan tersusun. 

“Kemahiran tradisional seperti tenunan, kerja logam dan seramik terus dipelihara, manakala generasi muda digalakkan melihat kraf sebagai laluan kerjaya yang berdaya maju dan bermaruah.

“Ini juga mencerminkan komitmen berterusan institusi diraja dalam memperkasa warisan kraf, budaya dan identiti bangsa Malaysia,” katanya. 

Sementara itu, penerima anugerah khas Seri-Ibu, Norita Abbas, 43 berkata, penyertaan dalam pertandingan berprestij itu merupakan pengalaman kali kedua dan satu langkah berani untuk mengetengahkan keaslian songket yang dihasilkan sepenuhnya menggunakan kaedah tradisional tanpa bantuan mesin. 

Katanya, proses pembuatan masih mengekalkan penggunaan alat tradisional, termasuk teknik menenun dan menyongket yang diwarisi turun-temurun.

“Keaslian songket itu terletak pada motif tradisional dan cara pembuatannya. Semua dilakukan secara manual, termasuk penyongkekan benang yang memerlukan ketelitian tinggi,” katanya.

Beliau berkata, tempoh menyiapkan sehelai songket bergantung kepada tahap kerumitan motif dan jumlah warna yang digunakan. 

“Bagi songket bercorak penuh seperti corak berdiri, proses menyiapkan boleh mengambil masa sehingga dua bulan setengah, manakala reka bentuk yang lebih ringkas boleh disiapkan dalam tempoh sekitar sebulan hingga dua bulan setengah,” katanya. 

Dari sudut operasi, beliau tidak bekerja bersendirian sebaliknya dibantu oleh pasukan penenun seramai 15 orang di bawah sebuah organisasi kraf tempatan. 

“Setiap penenun memainkan peranan penting dalam memastikan kualiti dan ketulenan hasil tenunan kekal terpelihara.

“Penyertaan dalam pertandingan seperti Piala Tuanku Azizah dilihat bukan sahaja sebagai pengiktirafan, malah memberi impak positif kepada kelangsungan ekonomi pengusaha kraf tradisional,” katanya. 

Menurut Norita, pertandingan sebegini mampu menyuntik semangat baharu dalam kalangan penggiat industri yang berdepan cabaran kekurangan generasi pelapis.

“Semangat terhadap kraf tradisional semakin berkurangan. Jadi generasi sekarang perlu membawa kembali warisan ini ke tengah masyarakat dan memastikan ia terus bertahan sebagai sumber ekonomi,” katanya.

Norita turut menyatakan kesediaan untuk menyertai pertandingan kraf lain pada masa hadapan kerana ia membuka peluang pasaran, meningkatkan nilai produk, serta memperkukuh kedudukan songket sebagai aset ekonomi dan budaya negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN