KUALA LUMPUR: Jenama tempatan, Nisabakri Gourmet menjalinkan kerjasama strategik dengan rangkaian kafe antarabangsa, O’Briens bagi memperkenalkan menu baharu, Kabsa Shepherd Pie di 27 cawangan kafe itu di Lembah Klang.
Kolaborasi yang dimuktamadkan dalam tempoh dua minggu itu menyaksikan pai buatan tangan berkonsepkan “Macam Mak Masak” kini boleh dinikmati pelanggan O’Briens sebagai sebahagian daripada menu tetap mereka.
Pengasas Nisabakri Gourmet, Chef Puan Seri Nisa Bakri berkata, kerjasama tersebut menjadi satu pencapaian bermakna bukan sahaja buat jenamanya, malah sebagai usahawan wanita dalam industri makanan.
“Kami sangat teruja dapat bekerjasama dengan O’Briens kerana dua jenama ini berkongsi visi yang sama tentang kualiti dan rasa. Shepherd Pie versi kami menggabungkan rasa Asia dan Barat yang unik.
“Sebagai usahawan wanita, peluang bekerjasama dengan jenama antarabangsa dalam industri makanan ini satu sejarah peribadi buat saya.
“Saya harap ia dapat memberi inspirasi kepada wanita lain bahawa kita juga mampu bergabung dengan jenama besar,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Pembukaan Cawangan O’Briens di Menara OCBC, di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, idea menghasilkan Kabsa Shepherd Pie tercetus daripada keinginan menawarkan kelainan kepada hidangan klasik Barat itu agar lebih dekat dengan selera tempatan.
“Jika buat Shepherd Pie asli sepenuhnya, mungkin tidak semua orang berminat. Jadi kami gabungkan dengan rempah kabsa yang terkenal di Timur Tengah kerana aromanya yang wangi dan rasa yang seimbang, kemudian tambah sentuhan Malaysia.
“Shepherd pie sendiri tidak banyak dijual di pasaran tempatan. Jadi kami lihat ini sebagai peluang untuk tampil dengan sesuatu yang unik, tetapi masih mesra selera rakyat Malaysia,” ujarnya.
Tambahnya, produk tersebut bukan edisi terhad, sebaliknya akan kekal dalam menu O’Briens, dengan potensi memperluaskan lagi kolaborasi pada masa depan.
“Kami berharap ini kerjasama jangka panjang. Mungkin akan ada produk lain pada masa hadapan bergantung kepada permintaan pelanggan,” katanya.
Kabsa Shepherd Pie sesuai dinikmati pada bila-bila masa termasuk sebagai hidangan moreh atau sahur menjelang Ramadan, memandangkan teksturnya yang hangat dan mengenyangkan. – UTUSAN










