Mukadimah
Syarikat berasaskan teknologi dan inovasi sering berdepan cabaran mendapatkan pembiayaan, khususnya apabila projek yang dibangunkan masih baharu serta tidak mempunyai rekod prestasi panjang seperti yang diperlukan bank komersial.
Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) memainkan peranan khusus bagi merapatkan jurang tersebut dengan menyediakan pembiayaan berfokus kepada sektor teknologi, hijau dan strategik selaras agenda pembangunan negara.
Wartawan Utusan Malaysia, SABRINA ZULKIFLI menemu bual Ketua Pegawai Perniagaan MDV, SHARUL SAZMAN SAMAAN, mengenai mandat MDV, keunikan pendekatan pembiayaan, peranan dalam Dana Peralihan Tenaga Nasional serta hala tuju institusi itu menjelang 2026.
UTUSAN: Boleh perkenalkan latar belakang MDV dan mandat penubuhannya?
SHARUL: MDV ditubuhkan pada tahun 2002 dengan mandat khusus untuk membiayai projek berasaskan teknologi dan inovasi.
Ketika itu, negara berada dalam fasa pendigitalan pesat dan banyak projek baharu muncul, namun bank komersial agak berhati-hati kerana kekurangan rekod prestasi dan model penilaian yang sesuai.
Jadi MDV diwujudkan untuk membiayai projek teknologi berisiko lebih tinggi tetapi berpotensi besar.
Sejak itu, kami sentiasa bergerak selari dengan agenda nasional termasuk bioteknologi, teknologi hijau, syarikat pemula dan kini sektor strategik baharu.
Apa yang membezakan MDV daripada institusi kewangan komersial lain?
Perbezaan utama ialah cara kami menilai pembiayaan.
Bank komersial biasanya menilai rekod syarikat, penyata kewangan teraudit dan cagaran ketara.
MDV pula melihat kepada daya maju projek, keupayaan pasukan pengurusan dan model pelaksanaan.
Kami memberi penekanan kepada ‘soft collateral’ seperti jaminan korporat, jaminan pemegang saham serta penyerahan hak kontrak.
Fokus kami ialah memastikan projek boleh dilaksanakan dan risiko boleh dikawal, bukan semata-mata bergantung kepada aset fizikal.
Bagaimana MDV membantu syarikat teknologi yang sukar mendapat pembiayaan?
Kami menyasarkan segmen yang kurang mendapat akses pembiayaan daripada bank biasa, khususnya syarikat teknologi baharu yang mempunyai projek berdaya maju tetapi tiada rekod kewangan panjang.
Pendekatan kami lebih fleksibel dengan penilaian terperinci terhadap aliran tunai, pelan pelaksanaan projek, keupayaan teknikal dan kawalan tadbir urus.
Kami juga melihat faktor mitigasi risiko sebelum sesuatu pembiayaan diluluskan.
Apakah cabaran utama MDV sebagai pembiaya projek teknologi?
Cabaran terbesar ialah ketiadaan penanda aras bagi syarikat baharu. Risiko sukar diukur kerana tiada sejarah prestasi.
Oleh itu, metodologi kami lebih menumpukan kepada pelaksanaan projek secara terperinci termasuk jadual kerja, vendor, kelulusan pihak berkuasa dan pelan mitigasi risiko.
Kami juga lebih responsif terhadap faktor luar jangka seperti cuaca atau gangguan rantaian bekalan, selagi syarikat mempunyai pelan pemulihan yang jelas.
Sejak penubuhan, MDV telah meluluskan pembiayaan berjumlah berbilion ringgit dan menyokong lebih 1,300 projek, termasuk pembinaan menara telekomunikasi sejak era 2G, 3G dan awal 4G.
Apakah peranan MDV dalam Dana Peralihan Tenaga Nasional (NETF)?
MDV telah lama terlibat dalam pembiayaan teknologi hijau sejak 2012 meliputi solar, biogas dan kecekapan tenaga.
Apabila inisiatif peralihan tenaga negara diperkenalkan, kami berada dalam kedudukan bersedia.
Di bawah NETF, dana disediakan untuk meningkatkan kebolehbiayaan projek tenaga bersih. MDV menjadi antara agensi penyalur dana bagi projek di bawah rangka kerja peralihan tenaga negara.
Setakat ini, kami telah membantu lebih 10 syarikat di bawah inisiatif tersebut melibatkan sektor solar, mobiliti hijau, kecekapan tenaga dan bio-tenaga dengan jumlah pembiayaan ratusan juta ringgit.
Sokongan diberi dalam bentuk subsidi kadar keuntungan dan kemudahan sokongan kredit bagi menjadikan projek lebih menarik kepada pelabur.
Sektor manakah menjadi tumpuan MDV bagi tahun 2026?
Kami akan terus fokus kepada sektor teras seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), teknologi hijau, teknologi baharu dan sektor strategik.
Antara tumpuan ialah semikonduktor, aeroangkasa dan pusat data.
MDV tidak bersaing dengan bank komersial, sebaliknya melengkapi ekosistem dengan membiayai pemain dalam rantaian sokongan seperti pembekal komponen, penyedia perkhidmatan dan syarikat teknologi khusus yang berskala lebih kecil.
Bagaimana pula sokongan MDV terhadap syarikat bumiputera dan perusahan kecil dan sederhana (PKS)?
Kami memberi penekanan kepada syarikat bumiputera melalui kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Teraju dan persatuan perniagaan.
Sebahagian besar portfolio kami terdiri daripada syarikat bumiputera PKS.
MDV juga terlibat dalam program dana khas serta sesi klinik pembiayaan untuk membantu usahawan memahami keperluan dokumentasi dan penilaian kewangan sebelum memohon pembiayaan.
Apakah fokus MDV dalam tempoh dua tahun akan datang?
Antara fokus utama ialah mempercepatkan proses kelulusan pembiayaan atau ‘time to money’ melalui penambahbaikan proses dalaman dan penyeragaman penilaian.
Kami juga mahu meluaskan capaian kepada syarikat pemula melalui pembiayaan berbentuk venture debt patuh syariah.
Selain itu, MDV akan terus menjajarkan strategi perniagaan dengan agenda nasional termasuk peralihan tenaga dan pembangunan industri semikonduktor. – UTUSAN










