PETALING JAYA: Marrybrown, rangkaian Restoran Perkhidmatan Pantas (QSR) halal tempatan terus memperkukuh empayar globalnya dengan menembusi pasaran Mesir menerusi kerjasama strategik bersama syarikat hartanah terbesar negara itu.
Langkah signifikan itu direalisasikan menerusi pemeteraian perjanjian francais antara Marrybrown dengan Talaat Moustafa Retail (TMR), anak syarikat Talaat Moustafa Group (TMG) yang merupakan konglomerat hartanah dan hospitaliti terkemuka di Mesir.
Ketua Pegawai Eksekutif Marrybrown, Daniel Chan berkata, penyertaan ke pasaran Mesir merupakan detik penting dalam pertumbuhan antarabangsa syarikat dengan menyasarkan pembukaan 100 cawangan baharu dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Ujarnya, fasa permulaan akan menyaksikan sebanyak enam cawangan pertama bakal dibuka di Kaherah menjelang penghujung tahun 2026.
“Mesir mewakili pasaran pengguna yang sangat berpotensi di rantau Asia Barat dan Afrika dengan populasi melebihi 110 juta orang serta permintaan tinggi terhadap makanan halal.
“Kerjasama dengan TMG yang mempunyai kepakaran mendalam dalam pasaran tempatan akan membolehkan kami berkembang secara bertanggungjawab sambil mengekalkan piawaian kualiti, servis, kebersihan dan nilai (QSCV) yang konsisten,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TMR, Omar Hisham Talaat Moustafa berkata, kerjasama tersebut merupakan langkah penting bagi syarikatnya mempelbagaikan portfolio perniagaan dalam industri makanan dan minuman (F&B).
“Kami melihat Marrybrown sebagai jenama ikonik Malaysia yang mempunyai warisan halal yang kuat. Model francais global mereka yang terbukti berjaya amat sejajar dengan visi jangka panjang kami untuk membawa konsep global terbaik ke dalam komuniti kami,” katanya.
Kemasukan Marrybrown ke Mesir bukan sahaja menandakan jenama itu sebagai rangkaian makanan segera halal pertama dari Malaysia yang memasuki pasaran berkenaan, malah menjadi batu loncatan untuk pelan peluasan lebih menyeluruh ke seluruh Afrika dan Asia Tengah.
Setakat ini, Marrybrown telah mengendalikan lebih 500 cawangan di 16 buah negara merangkumi wilayah Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Afrika, Asia Timur, Oceania dan sebahagian Eropah.
Penerokaan pasaran Mesir ini mengukuhkan lagi kedudukan Marrybrown sebagai salah satu jenama QSR halal terbesar dunia yang terus membawa identiti rasa Malaysia ke persada antarabangsa. – UTUSAN










