PROJEK perumahan berketumpatan tinggi semakin mendapat tempat dalam kalangan pemaju, khususnya di bandar utama yang berdepan kekangan tanah dan permintaan kediaman yang tinggi.
Perumahan berketumpatan tinggi juga dilihat membuka peluang kepada golongan muda untuk memiliki rumah pertama, terutama di lokasi berhampiran pusat pekerjaan dan rangkaian pengangkutan awam.
Bagaimanapun, di sebalik kelebihan dari sudut harga dan lokasi, timbul persoalan tentang tahap keselesaan, kemudahan dan kualiti hidup sebenar penghuni dalam persekitaran yang padat.
Bagi Dahlia Natasya Muhamad Azlan, 24, projek berketumpatan tinggi merupakan satu keperluan dalam bandar besar seperti Kuala Lumpur, namun pelaksanaannya perlu disokong dengan perancangan dan pengurusan yang cekap.
Katanya, kediaman jenis itu memberi peluang kepada lebih ramai orang untuk tinggal berhampiran tempat kerja dan pengangkutan awam, tetapi boleh menimbulkan masalah jika kepadatan tidak dikawal dengan baik.
“Bila dengar projek perumahan berketumpatan tinggi, saya nampak ia satu keperluan di bandar besar. Ia beri peluang ramai orang duduk dekat tempat kerja dan pengangkutan awam.
“Tapi pada masa sama boleh jadi masalah kalau perancangan dan pengurusan tak bagus, contohnya terlalu ramai orang, lif lambat dan parkir tak cukup,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, faktor utama yang mendorong minat terhadap projek seumpama itu ialah harga dan lokasi yang lebih mampu dicapai berbanding rumah bertanah.
Ujarnya, kebanyakan projek berketumpatan tinggi dibangunkan berhampiran kemudahan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT), selain menawarkan kemudahan sokongan seperti kedai, gimnasium dan kawalan keselamatan.
“Biasanya projek macam ini lebih mampu milik berbanding rumah bertanah dan terletak dekat dengan pengangkutan awam atau pusat bandar.
“Bagi sesetengah orang, memang tiada banyak pilihan lain kalau nak tinggal dekat bandar dengan bajet terhad,” katanya.
Mengulas soal keselesaan, Dahlia berkata, kediaman berketumpatan tinggi boleh menjadi selesa jika diurus dengan baik, namun beberapa isu lazim tetap wujud, khususnya melibatkan ruang, bunyi dan privasi.
“Isu seperti ruang kecil, bunyi jiran dan kurang privasi memang biasa berlaku. Kalau unit terlalu padat dan dinding nipis, ia boleh ganggu ketenangan,” jelasnya.
Tambah Dahlia, isu kemudahan bersama yang sering menjadi tekanan utama penghuni apabila jumlah penduduk terlalu ramai berbanding kapasiti asal.
“Biasanya lif dan parkir jadi isu utama. Waktu puncak lif lambat dan susah cari parkir.
“Kemudahan seperti surau, taman dan ruang komuniti selalunya ada, tapi bila penghuni terlalu ramai, tempat itu jadi sesak dan kurang selesa,” tambahnya.
Walaupun terdapat beberapa kekurangan, Dahlia tidak menolak sepenuhnya konsep perumahan berketumpatan tinggi, sebaliknya menekankan kepentingan pemilihan projek yang mempunyai tahap kepadatan munasabah serta pengurusan yang baik.
“Kalau diberi pilihan, saya masih akan pertimbangkan untuk tinggal di projek berketumpatan tinggi kerana faktor lokasi dan kos.
“Tapi saya akan pilih yang tidak terlalu padat, dengan pengurusan baik dan kemudahan mencukupi supaya kualiti hidup lebih terjaga,” ujarnya.
Sementara itu, pandangan hampir sama turut dikongsi oleh seorang lagi penghuni kediaman berketumpatan tinggi, Ila Nur Syairah Ismail, 29, yang melihat konsep tersebut sebagai realiti semasa pasaran perumahan bandar.
Katanya, perumahan berketumpatan tinggi sering dikaitkan dengan suasana sesak, namun tetap menjadi pilihan praktikal berikutan harga rumah yang semakin meningkat.
“Bila dengar perumahan berketumpatan tinggi, perkara pertama yang terlintas ialah ramai orang dan sesak. Tapi pada masa yang sama, saya anggap ia sebagai satu keperluan, terutamanya di kawasan bandar.
“Harga rumah sekarang mahal dan projek seperti ini jadi pilihan yang lebih mampu milik untuk kebanyakan orang,” katanya.
Beliau yang menetap di sebuah projek berketumpatan tinggi di Ampang berkata, faktor lokasi strategik dan harga yang lebih realistik berbanding rumah bertanah menjadi sebab utama membuat keputusan membeli unit berkenaan.
“Faktor utama saya ialah lokasi dan harga. Kediaman ini dekat dengan kemudahan asas, akses jalan raya mudah dan tidak terlalu jauh dari tempat kerja.
“Dari segi harga pula, ia lebih realistik berbanding rumah bertanah di kawasan bandar. Kemudahan yang disediakan juga jadi nilai tambah,” ujarnya.
Mengulas aspek keselesaan, Ila mengakui kediaman berketumpatan tinggi mempunyai kekangan tertentu, terutama dari segi keluasan ruang dan tahap privasi, namun masih boleh diterima untuk keperluan semasa.
“Secara keseluruhan, ia agak selesa, tapi ada kekurangan. Ruang rumah memang terhad, jadi kena pandai susun barang.
“Bunyi bising kadang kadang ada, terutama waktu puncak atau hujung minggu. Dari segi privasi, ia sederhana sahaja dan tidak boleh dibandingkan dengan rumah bertanah, tapi masih boleh diterima,” katanya.
Menurutnya, kemudahan bersama seperti lif dan tempat letak kenderaan antara cabaran utama yang sering dihadapi penghuni apabila kadar penggunaan terlalu tinggi.
“Keadaan lif boleh diterima, cuma waktu puncak agak sesak dan perlu tunggu lama. Tempat letak kenderaan pun terhad, terutama kalau ada lebih daripada satu kereta.
“Kemudahan awam seperti surau dan ruang komuniti ada, tapi penggunaan tinggi sebab jumlah penduduk ramai, jadi kadang kadang terasa padat,” jelasnya.
Beliau berkata, projek perumahan berketumpatan tinggi masih sesuai dipertimbangkan bagi tujuan jangka pendek atau sebagai kediaman permulaan, namun kurang ideal untuk didiami dalam tempoh terlalu lama.
“Jika untuk jangka pendek atau sementara, saya masih akan pertimbangkan projek berketumpatan tinggi sebab faktor kos dan lokasi.
“Tapi untuk jangka panjang, saya lebih cenderung memilih kediaman yang kurang padat kerana lebih tenang, selesa dan privasi lebih terjaga,” katanya. – UTUSAN










