KUALA LUMPUR: Malaysia kini memperluas strategi perdagangan dengan menumpukan perhatian kepada Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bersama negara-negara membangun di kawasan Selatan-Selatan termasuk Asia Barat, Amerika Latin dan Afrika.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Antarabangsa) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Mastura Ahmad Mustafa berkata, data tahun lalu menunjukkan walaupun pertumbuhan ekonomi di beberapa negara Afrika menurun, nilai eksport Malaysia ke wilayah tersebut meningkat sebanyak 6.6 peratus.
“Tren positif turut dilihat pada rakan FTA yang bukan rakan dagang tradisional, seperti Hong Kong, Mexico, dan Kanada, manakala negara pasaran baru yang menjadi tumpuan termasuk Kenya, Nigeria, Tanzania, Yemen, Algeria, Uzbekistan dan Puerto Rico,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam forum Strategi Perdagangan dan Pelaburan untuk Kepelbagaian dan Pengembangan Pasaran Global sempena Forum Ekonomi Malaysia (FEM) di sini semalam.
Dalam strategi jangka panjang, Malaysia sedang meneliti kemungkinan FTA baharu dengan Bangladesh, Bahrain, beberapa negara Amerika Latin, Kesatuan Afrika Selatan serta negara-negara Eurasia seperti Uzbekistan dan Kazakhstan.
Menurut Mastura, FTA ini bukan sahaja meningkatkan akses pasaran, malah memperkukuh hubungan ekonomi dengan negara-negara yang sebelum ini mempunyai sedikit hubungan dagang dengan Malaysia.
“Dengan memperluas FTA, koridor perdagangan Malaysia kini semakin meluas, menandakan peralihan daripada pergantungan tradisional kepada Amerika Syarikat,” katanya.
Sehingga kini, Malaysia melaksanakan sebanyak 17 FTA.
Daripada jumlah berkenaan, empat dimuktamadkan rundingan naik tarafnya dan ditandatangani iaitu Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) pada Oktober 2025 dan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China pada Oktober 2025 (semakan ke-2).
Selain itu, turut ditandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand pada Ogos, 2023 dan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Türkiye yang ditandatangani pada September, 2022.
Tiga FTA lagi sedang disemak semula dan melalui rundingan naik taraf iaitu Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) dan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Korea (AKFTA).
Sementara itu, lima FTA di peringkat perancangan atau kajian awal untuk disemak semula.
Kelima-lima FTA berkenaan iaitu Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-Pakistan, Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia Australia, Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-New Zealand, Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India dan Perjanjian Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP). – UTUSAN










