KUALA LUMPUR: Malaysia berada di landasan untuk menjadi hab perdagangan emas fizikal global, disokong oleh dasar kerajaan, ekosistem logam berharga yang bersepadu serta rangka kerja tadbir urus industri.
Presiden Persatuan Emas Malaysia (MGA), Datuk Seri Louis Ng berkata, Malaysia mempunyai struktur teratur, keupayaan kukuh dan berorientasikan masa depan, di mana persatuan bertindak sebagai jambatan untuk berinteraksi, berunding serta mengekalkan dialog dengan pihak berkuasa serta agensi kerajaan yang berkaitan.
“Kerajaan kita sentiasa menetapkan dasar yang tepat bagi pertumbuhan sihat industri logam berharga di Malaysia, terutamanya sektor emas.
“Industri ini berkembang dengan pesat dan kini memberi peluang pekerjaan kepada kira-kira 250,000 orang di seluruh negara.
“Malaysia turut mempunyai kekuatan utama dari segi persekitaran yang mesra pelbagai standard antarabangsa,” katanya kepada pemberita pada Edisi ke-3 Persidangan Emas Malaysia (MGC) 2026 di sini, semalam.
Menurutnya, Malaysia sedang menempatkan diri pada posisi kukuh sebagai peneraju masa depan industri pasaran emas Asia, sekali gus berpotensi menjadi contoh kepada negara jiran seperti Thailand, Vietnam, Laos dan negara Asia Tengah.
Ujarnya, lokasi strategik negara ini di tengah-tengah Asia, disokong oleh institusi yang kukuh dan progresif, membolehkan negara menawarkan persekitaran kompetitif dan mesra perniagaan.
“Ini termasuk sifar duti import dan eksport bagi jongkong emas, tiada cukai penggunaan domestik untuk jongkong emas pelaburan serta proses kastam yang cekap dan telus.
“Ciri-ciri ini menjadikan Malaysia pasaran yang kos efektif dan efisien untuk penapis logam, pedagang, pengilang barang kemas, penyedia logistik serta institusi pelaburan,” ujarnya.
Beliau berkata, negara ini kini turut berdiri sebagai ekosistem logam berharga yang lengkap di Asia.
“Malaysia merupakan antara negara terhad di rantau ini yang mempunyai rantaian nilai logam berharga bersepadu sepenuhnya, meliputi perlombongan huluan, penapisan dan pencetakan jongkong serta reka bentuk dan pembuatan barang kemas.
“Ia turut merangkumi pengedaran borong dan serantau, rangkaian runcit yang kukuh, pembiayaan mikro termasuk pajak gadai patuh syariah, serta kitar semula dan pemulihan logam secara bertanggungjawab.
“Keupayaan menyeluruh ini membezakan Malaysia berbanding pusat kewangan terkenal dunia seperti Hong Kong, Singapura, Dubai, Switzerland, London dan New York.
“Ia membuktikan Malaysia memiliki ekosistem yang lengkap dan matang, sesuatu yang sukar ditemui di tempat lain,” ujarnya. – UTUSAN










