DALAM segmen maxi skuter premium, kebanyakan pembeli di Malaysia selalunya lebih cenderung memilih jenama Jepun dan Eropah kerana faktor reputasi, rangkaian dan sejarah model yang sudah lama bertapak.
Model-model dari Jepun sering dilihat sebagai pilihan ‘selamat’, manakala jenama Eropah pula dikaitkan dengan imej premium dan teknologi.
Dalam keadaan itu, jenama Taiwan seperti Kymco kadang-kadang dipandang sebagai pilihan alternatif, walaupun hakikatnya pengeluar ini sudah lama membina kepakaran dalam pembangunan skuter bersesaran besar untuk pasaran global.
Melalui Kymco AK550, Kymco sebenarnya cuba memecahkan persepsi tersebut dengan menawarkan maxi skuter yang dibangunkan dengan pendekatan lebih sport dan teknikal, bukan sekadar fokus kepada keselesaan semata-mata.
Kini, apabila model ini dipasang secara pemasangan tempatan (CKD) di Gurun, Kedah, harga juga turun dengan ketara ke sekitar RM55,800 berbanding lebih RM65,000 sebelum ini.
Penulis berpeluang menguji sendiri jentera ini dalam situasi bandar dan lebuh raya untuk melihat sama ada AK550 benar-benar mampu berdiri setanding dengan pilihan popular dari jenama yang lebih dominan.

Enjin dan prestasi
AK550 dikuasakan enjin dua silinder selari bersesaran sekitar 550 sentimeter padu (cc) yang memberikan karekter tunggangan berbeza berbanding skuter satu silinder biasa. Menariknya, enjin ini menggunakan konfigurasi crankshaft 270 darjah yang menghasilkan rasa tarikan dan bunyi lebih berkarakter, hampir menyerupai cross-plane feel.
Disebabkan itu, deruman yang terhasil kedengaran lebih dalam dan ‘hidup’, bukan sekadar bunyi mekanikal biasa.
Ketika penulis menguji di laluan bandar, respon throttle terasa pantas dan mudah dikawal, sesuai untuk celah trafik.
Apabila dibawa ke lebuh raya, kuasa pertengahan terasa padat dan membantu ketika memotong tanpa perlu meratah rpm tinggi.
Karakter enjin terasa matang, tidak terlalu agresif tetapi cukup bertenaga untuk kegunaan harian dan juga perjalanan jauh. Pada kelajuan cruising, enjin kekal halus dan tidak meletihkan.
Reka bentuk dan ergonomik
Dari sudut reka bentuk, AK550 tampil dengan gaya tajam dan sporty, lebih hampir kepada motosikal berbanding skuter tradisional. Garisan badan nampak agresif dengan proportion yang jelas menunjukkan ia sebuah maxi skuter berprestasi.
Bahagian depan kelihatan lebar dan tegap, manakala rekaan sisi memberi imej dinamik walaupun ketika statik.
Ergonomik tunggangan pula dirasakan mesra untuk pelbagai saiz badan. Posisi duduk tegak dengan handlebar yang mudah dicapai.
Ruang kaki juga luas, membolehkan posisi diubah ketika perjalanan jauh. Pelana terasa lebar dan menyokong dengan baik, jadi untuk tunggangan jarak sederhana hingga jauh, tahap keselesaan memang berada dalam kategori premium.

Ciri teknologi dan kelengkapan
Sebagai skuter premium, AK550 hadir dengan kelengkapan yang boleh dikatakan lengkap untuk kelasnya. Sepanjang ujian, penulis menghargai kehadiran windshield elektrik yang boleh dilaras ketinggian dengan mudah, sangat membantu apabila bertukar dari laluan bandar ke lebuh raya.
Sistem lampu LED penuh pula memberikan pencahayaan yang terang dan jelas pada waktu malam.
Sistem brek menggunakan komponen Brembo yang memberi rasa cengkaman kuat dan mudah dikawal. Selain itu, kehadiran ABS, traction control dan TPMS menambah keyakinan ketika menunggang.
Paparan meter digitalnya jelas dan moden, manakala sistem keyless memudahkan urusan hidupkan enjin dan mengunci jentera. Butang untuk membuka fuel cap, pelana dan sistem kunci juga mudah difahami dan tidak memerlukan banyak masa untuk biasakan diri.
Pengalaman penulis menunggang
Penulis menguji AK550 dalam gabungan trafik bandar, jalan beralun dan lebuh raya. Perkara paling menonjol ialah rasa stabil ketika bergerak. Walaupun saiznya besar, sebaik sahaja roda mula berpusing, jentera ini terasa seimbang dan mudah dikawal.
Ketika menukar lorong dan mengambil selekoh panjang, respon casis memberi keyakinan yang baik.
Kawalan AK550 juga mengejutkan untuk sebuah maxi skuter. Ia terasa begitu meyakinkan ketika masuk selekoh, malah ada rasa sporty yang jelas. Bahagian depan memberi maklum balas yang baik, jadi penulis boleh jangka bagaimana jentera akan bertindak balas ketika menambah lean angle.
Suspensi pula menyerap permukaan jalan dengan baik tanpa rasa terlalu lembut atau terlalu keras.
Dalam tunggangan jauh, perlindungan angin dan keselesaan pelana membantu mengurangkan keletihan. Getaran enjin juga terkawal, menjadikan perjalanan pada kelajuan tinggi masih selesa.
Secara ringkas, pengalaman tunggangan memang terasa seperti gabungan skuter dan motosikal sport-tourer.
Kekurangan dan perkara boleh ditambah baik
Walaupun banyak aspek meyakinkan, ada beberapa perkara yang penulis rasa boleh diperbaiki.
Susunan butang di handlebar agak bercelaru dan kurang intuitif, terutama butang lampu ‘passing’ yang kedudukannya tidak begitu praktikal untuk tindak balas segera.
Ia bukan isu besar, tetapi dalam situasi pantas, perkara kecil seperti ini boleh dirasai.
Selain itu, ruang simpanan bawah pelana agak terhad untuk helmet full face sporty bersaiz besar.
Ada helmet yang boleh dimuatkan, tetapi tidak semua. Berat jentera juga jelas terasa ketika menolak atau mengundur di ruang parkir sempit.
Dari segi penggunaan minyak, jika ditunggang secara agresif, penggunaan bahan api juga akan meningkat, namun itu selari dengan kapasiti dan prestasi enjin.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, Kymco AK550 membuktikan bahawa ia bukan sekadar skuter premium pada rupa dan spesifikasi, tetapi juga dari sudut rasa tunggangan.
Enjin dua silinder dengan konfigurasi 270 darjah memberi karekter bunyi dan tarikan yang unik, handling pula meyakinkan, manakala tahap keselesaan sesuai untuk kegunaan harian dan juga touring.
Dengan harga CKD yang kini jauh lebih kompetitif, AK550 berada dalam posisi yang lebih kuat untuk dipertimbangkan.
Bagi mereka yang mahukan maxi skuter dengan jiwa sport, kelengkapan premium dan pengalaman tunggangan yang matang, model ini memang wajar masuk dalam senarai pendek. – UTUSAN










