KLANG: Kumpulan Pantai Bharu terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri automotif negara apabila melancarkan Era Baharu Perodua 3S Pantai Bharu sempena pembukaan rasmi bilik pameran dan pusat servis terbaharunya di Batu 1, Jalan Meru di Klang.
Syarikat milik Bumiputera yang diasaskan oleh Datuk Shamshudin Nor pada 25 September 1978 itu sebelum ini telah memulakan operasi bilik pameran dan pusat servis Perodua Pantai Bharu sejak tahun 1994 melalui anak syarikatnya, PB Motor Sdn. Bhd.
Shamshudin juga adalah Presiden Kumpulan Pantai Bharu
Berbekalkan pengalaman luas dalam pelbagai sektor termasuk automotif, perkhidmatan, insurans, pembangunan hartanah dan pelancongan, pembukaan pusat 3S berkonsepkan moden ini mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menawarkan perkhidmatan automotif bertaraf tinggi kepada pelanggan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua), Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, pembukaan Perodua Pantai Bharu sebagai rakan strategik mencerminkan kesungguhan Perodua dalam memperluas jaringan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelanggan, khususnya di kawasan Klang dan sekitarnya.
Menurut beliau, pusat 3S berkenaan bukan sahaja berperanan sebagai bilik pameran, malah menjadi platform penting bagi pelanggan mendapatkan maklumat menyeluruh, merasai pengalaman pemanduan serta menikmati perkhidmatan jualan dan selepas jualan yang lebih efisien dan menyeluruh.
“Kerjasama strategik ini selari dengan aspirasi Perodua untuk menyokong pembangunan industri automotif negara serta memperkukuh usaha ke arah mobiliti hijau dan lestari, termasuk pembangunan kenderaan berteknologi elektrik pada masa hadapan,” katanya.
Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi Perodua Sales Sdn. Bhd., Datuk JH Rozman Jaafar; Shamshudin serta Pengarah Urusan Kumpulan Pantai Bharu, Rabitah Shamshudin.
Bilik pameran Perodua Pantai Bharu direka dengan konsep moden dan interaktif, dilengkapi kemudahan teknologi terkini bagi memberikan pengalaman digital yang lebih imersif serta suasana mesra pelanggan.
Orang ramai dijemput hadir bagi menerokai sendiri keunikan pusat berkenaan dan merasai pengalaman baharu dalam dunia automotif bersama Perodua Pantai Bharu. – UTUSAN










