PETALING JAYA: Kadar pertumbuhan penduduk Malaysia semakin perlahan kepada 0.6 peratus atau pertambahan 192,495 orang pada suku keempat 2025, seiring penurunan kelahiran hidup sebanyak 5.4 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah penduduk dianggarkan meningkat kepada 34.3 juta berbanding 34.1 juta pada suku keempat 2024, namun kadar pertumbuhan lebih rendah berbanding 1.2 peratus yang direkodkan sebelum ini.
“Komposisi penduduk warganegara dan bukan warganegara masing-masing kekal pada 90.1 peratus dan 9.9 peratus. Penduduk lelaki meningkat kepada 18 juta, manakala perempuan kepada 16.3 juta, dengan nisbah jantina keseluruhan 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, komposisi penduduk tua berumur 65 tahun dan ke atas meningkat kepada 8.0 peratus berbanding 7.8 peratus, manakala kumpulan umur muda sifar hingga 14 tahun menurun kepada 21.6 peratus.
“Penduduk umur bekerja 15 hingga 64 tahun pula meningkat kepada 70.4 peratus.
“Dari segi etnik, Melayu menyumbang 58.2 peratus daripada jumlah penduduk, diikuti bumiputera lain (12.3 peratus), Cina (22.2 peratus) dan India (6.5 peratus), yang kesemuanya tidak berubah berbanding tempoh sama tahun sebelumnya,” katanya.
Mengulas statistik kelahiran, Mohd. Uzir berkata, bilangan kelahiran hidup menurun 5.4 peratus kepada 99,353 kelahiran, berbanding 105,027 pada suku keempat 2024.
“Bayi lelaki merekodkan 51,340 kelahiran, berbanding 48,013 bayi perempuan dengan nisbah jantina ketika lahir 107 lelaki bagi setiap 100 perempuan. Selangor mencatatkan kelahiran hidup tertinggi sebanyak 18,517 atau 18.6 peratus, manakala Labuan terendah dengan 331 kelahiran.
“Ibu berumur 30 hingga 39 tahun mencatatkan kelahiran tertinggi iaitu 49.8 peratus, diikuti 20 hingga 29 tahun sebanyak 43.4 peratus,” katanya.
Tambah beliau, etnik Melayu menyumbang 68.7 peratus daripada jumlah kelahiran hidup, manakala bumiputera lain meningkat kepada 12.9 peratus, sementara Cina dan India masing masing menurun kepada 7.8 peratus dan 3.9 peratus.
Bagi statistik kematian, sebanyak 51,077 kematian direkodkan pada suku keempat 2025, meningkat 1.3 peratus berbanding 50,415 pada tempoh sama tahun sebelumnya.
“Jumlah kematian lelaki adalah 29,358, manakala perempuan pada 21,719 dengan nisbah jantina 135 lelaki bagi setiap 100 perempuan. Selangor merekodkan kematian tertinggi sebanyak 7,990 atau 15.6 peratus, manakala Putrajaya terendah dengan 82 kes.
“Kumpulan umur 60 tahun dan ke atas mencatatkan peratusan kematian tertinggi sebanyak 70.1 peratus daripada jumlah keseluruhan,” tambahnya.
Mengulas trend global, Mohd. Uzir berkata, banyak negara kini berdepan penurunan kadar kelahiran dan kadar kesuburan jumlah di bawah paras penggantian 2.1 anak bagi setiap wanita, yang memberi cabaran kepada struktur demografi dan pertumbuhan ekonomi.
Katanya, beberapa negara termasuk Korea Selatan, Jepun, Singapura dan Thailand telah melaksanakan pelbagai dasar sokongan keluarga serta insentif cukai bagi menggalakkan peningkatan kadar kelahiran. – UTUSAN










