JOHOR BAHRU: Sebuah keluarga Orang Asli termasuk dua anaknya nekad terjun ke laut bagi menyelamatkan diri setelah rumah mereka terbakar di Kampung Teluk Jawa, di sini pagi tadi.
Kuik Toh, 43, berkata, dia bersama isteri, Semah Jumaat, 52, dan dua anaknya tiada pilihan lain setelah bahagian depan rumah mereka terbakar dan tiada ruang untuk melarikan diri.
“Saya sedang tidur sebelum dikejutkan dengan jeritan jiran-jiran kira-kira pukul 6, beritahu ada kebakaran. Saya bangun dan lihat api sudah merebak jadi tidak sempat selamatkan barangan berharga.
“Disebabkan sudah tiada jalan untuk keluar ikut pintu depan, kami sekeluarga terjun ke dalam air,” katanya kepada pemberita ketika ditemukan di Kampung Teluk Jawa, Masai, di sini hari ini.
Kuik yang merupakan seorang nelayan itu memberitahu, kejadian itu menyebabkan 30 keluarga hilang tempat tinggal sekelip mata.
Seorang lagi mangsa, Nur Aisyah Abdullah, 36, pula memberitahu, dia baharu mendiami rumah atas air itu sejak sebulan lalu selepas berpindah daripada kediaman asal yang berada tidak terlalu jauh.
“Kami terpaksa pindah kerana tapak rumah lama diambil pemaju selepas membayar pampasan RM50,000. Kami baharu hendak memulakan kehidupan baharu di kediaman ini.
“Banyak perabot baharu di dalamnya termasuklah mesin basuh, televisyen dan kelengkapan rumah lain. Ini juga termasuk persiapan sambut puasa, tetapi semuanya musnah terbakar,” katanya.-UTUSAN










