PETALING JAYA: KSHI Global Sdn. Bhd., pengendali Meokja Korean Food Cafe, merekodkan peningkatan mendadak dalam purata jualan harian antara 20 hingga 40 peratus selepas memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Penyelia Halal merangkap Pengurus Kafe Meokja Korean Food Cafe, Muhamad Saifuddin Abdull Shukor berkata, pensijilan halal bukan sahaja meningkatkan keyakinan pelanggan, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan perniagaan.
“Meokja Cafe mula memohon pensijilan halal Jakim pada Oktober 2024 dan berjaya memperoleh pengesahan halal pada Januari 2025. Sejak memperoleh sijil tersebut, perniagaan menunjukkan peningkatan ketara.
“Purata jualan harian meningkat antara 20 hingga 40 peratus dan melihat golongan warga emas mula mencuba dan menerima makanan Korea, sesuatu yang sebelum ini agak mencabar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, Muhamad Saifuddin berkata, kebanyakan pelanggan menyatakan rasa bangga terhadap pencapaian Meokja Cafe memperoleh pengiktirafan halal, sekali gus mengukuhkan kepercayaan terhadap jenama tersebut.
“Hidangan Meokja Cafe kini dinikmati secara konsisten oleh pelanggan tempatan di Seberang Jaya dan kawasan sekitar, dengan peningkatan jualan berterusan sejak status halal diperoleh,” katanya.
Meokja Korean Food Cafe yang dikendalikan oleh KSHI Global mula beroperasi pada Februari 2022 di Bandar Sunway Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Kini terdapat 25 orang kakitangan beragama Islam, selari dengan komitmen syarikat dalam memastikan pematuhan penuh kepada prinsip halal dan kebersihan.
Mengulas mengenai produk yang ditawarkan, Muhamad Saifuddin berkata, Meokja Cafe menyajikan pelbagai hidangan Korea yang diolah mengikut citarasa tempatan, dengan harga menu antara RM15 hingga RM50.
“Hidangan paling laris kami ialah sundubu jjigae variasi daging, dengan hampir 1,500 mangkuk terjual setiap bulan. Antara menu paling laris lain ialah carbonara tteokbokki, samgyetang dan ramyeon,” katanya.
Beliau berkata, makanan Korea sememangnya semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia, namun status halal sering menjadi persoalan kerana penggunaan bahan mentah yang meragukan serta campuran alkohol dalam masakan asal Korea.
“Kami membawa sajian Korea ke Malaysia dan mengolahnya semula supaya patuh syariah serta dapat diterima oleh pelanggan daripada pelbagai lapisan umur. Tambahan pula, pemilik Meokja Cafe semuanya beragama Islam, jadi pensijilan halal memberi keyakinan penuh kepada pelanggan untuk menjamah hidangan kami tanpa rasa was-was,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhamad Saifuddin turut menyeru peniaga makanan lain supaya tidak ragu-ragu memohon pensijilan halal.
“Proses permohonan halal sememangnya teliti dan mencabar, tetapi ia sangat berbaloi. Kepuasan sebenar ialah apabila kita dapat menghidangkan makanan yang diiktiraf halal oleh Jakim. – UTUSAN









